Sabtu, 21 April 2018

3,737 borang pencalonan PRU14 telah dijual setakat 20 April: SPR

ainulillia


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjual 3,737 borang pencalonan bagi pilihanraya umum ke-14 (PRU14) sehingga semalam (20 April).

2 Tan Buah Tempatan Dijamu FAMA Habis 3 Jam



buah-Buahan fama

MYNEWSHUB

PASIR SALAK – Belum pun sampai tiga jam, hampir dua tan buah-buahan tempatan habis dinikmati pengunjung sempena kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan dan Ulam-Ulaman di Dewan Serbaguna Chikus di sini.


Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak itu, dihadiri lebih 2,000 pengunjung yang bertujuan menggalakkan permintaan buah-buahan tempatan.

Pengarah FAMA Perak, Basri Jasmo berkata di samping memberi ilmu tentang khasiat buah-buahan tempatan dan ulam-ulaman kempen ini juga untuk mengurangkan import buah-buahan luar negara.

“Sebab itu sempena kempen ini, FAMA turut mengetengahkan konsep kulinari dan persembahan buah-buahan untuk memberi nafas baharu dalam industri buah-buahan tempatan,” katanya kepada Bernama.

Basri ditemui sempena program Best Buy dan Jimat Belanja Dapur serta penganjuran kempen buah-buahan itu. Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Ibrahim Katok.

Basri berkata selain menjamu buah-buahan tempatan secara percuma, FAMA turut membuka 20 gerai jualan jimat belanja dapur dan menganjurkan acara lelongan barangan dapur.

Antara mendapat perhatian ramai contohnya setongkol jagung berharga 50 sen dan sekilogram durian tempatan hanya dijual RM10. – BERNAMA

Gelombang PH sudah melanda Johor, kubu BN bocor



Hisomuddin Bakar bimbang kegagalan pollsters di Amerika mengganggu industri yang sama di negara ini.
Hisomuddin meramalkan kubu BN ini akan jatuh ke tangan PH dalam PRU 14.

Hampir sebulan lalu, ketika parlimen belum dibubarkan, pengkaji politik Mohamad Hisomuddin Bakar yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan negeri kubunya Johor dalam pilihan raya umum ke 14 ini.

Namun, malam kelmarin, apabila beliau turun ke majlis Jelajah Pakatan Harapan (JPH) di Pagoh, Johor, beliau berpendapat gelombang PH sudah melanda Johor.

“Bagi saya gelombang PH sedang melanda Johor dan juga sebahagian Pahang,” kata Hisomuddin ketika mengulas perkembangan terbaru politik Malaysia seminggu sebelum penamaan calon PRU 14 pada  28 April ini.

Beliau yang turut berada di Pagoh kelmarin berkata, yang lebih menarik dalam JPH Pagoh adalah penyertaan anak muda yang sangat ramai.

Sebelum itu, JPH berlangsung di Pasir Gudang dan Muar, Johor turut mendapat sambutan yang sama.

“Bayangkan, kereta terpaksa diletakkan sepanjang tiga kilometer sepanjang jalan masuk ke tempat perhimpunan, satu KM di kiri dan dua KM di kanan, dan yang ramai datang adalah anak muda.

“Bila saya tanya kenapa mereka datang, mereka kata kami tak mahu susahkan diri selama lima tahun lagi jika undi BN, cukuplah apa yang kami lalui sekarang,” cerita Hisomuddin tentang perhimpunan di Pagoh, kawasan yang akan ditandingi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidin Yassin itu.

Orang ramai memenuhi perhimpunan Jelajah PH di Pagoh malam kelmarin.

Anak-anak muda ini bercerita, BN ada menawarkan kepada mereka RM50 hingga RM70 satu malam untuk memasang poster mereka.

“Kami tak mahu senang sekejap tetapi susah lima tahun lagi,” cerita Hisomuddin tentang apa yang dikatakan anak muda ini kepada beliau di Pagoh.

Menurut Hisomuddin, dengan gelombang ini, hampir kesemua kerusi marginal di Johor akan jatuh ke tangan PH dalam PRU 14 ini.

“Bila kerusi marginal jatuh, bermakna Umno terpaksa bertahan di kerusi luar bandar sahaja dan terlepas bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Bagi Hisomuddin, turut akan menjadi korban gelombang ini adalah Pas yang tidak berada dalam arus utama ini.

“Saya boleh jangkakan Pas akan ‘wipe out’ (disapu bersih) kali ini kerana mereka tidak ada dalam arus ini,” kata beliau.

Pada penghujung Mac lalu, Hisomuddin meramalkan hanya pengundi yang tinggal di sekitar lebuh raya Utara Selatan (PLUS) sahaja mula berubah ke arah PH manakala yang tinggal di pendalaman khasnya di pantai timur Johor masih senang dengan Umno dan BN.

Ketika itu, Pengarah Eksekutif Ilham Center itu berkata Johor akan kekal jadi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional.

“Pengundi Melayu di sekitar laluan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) seperti Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru mula dilihat berubah tetapi pengundi di luar bandar khasnya pantai timur Johor seperti Mersing, Kota Tinggi dan Pengerang masih kekal dengan BN,” kata Hisommudin.

Kajian kumpulan fokus yang beliau buat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang di bawah Parlimen Air Hitam dan kawasan Felda di Johor ketika itu, beliau mendapati secara keseluruhannya, majoriti pengundi Melayu Johor masih mahu kekal bersama Umno berbanding berpindah kepada PH.

Tunggu PM muktamad senarai calon Perak

Muhammad Azizul Osman
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak PRU-14 di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Ipoh, Perak. foto IQBAL BASRI,
 

IPOH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menafikan bahawa parti itu lewat untuk mengumumkan senarai calon BN pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kali ini.

Bagaimanapun menurut Zambry, proses muktamad itu harus melalui pengesahan daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita kena tunggu untuk pengesahan terakhir daripada Pengerusi BN, kita harap dapat umumkan senarai nama calon secepat mungkin,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan manifesto BN peringkat negeri Perak hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, keputusan untuk menyenaraikan calon-calon PRU-14 di negeri itu dibuat secara konsensus dalam kalangan parti-parti komponen BN yang ada di negeri ini.

“Keputusan yang dibuat adalah keputusan bersama, yang penting BN menang di Perak. Kita buat keputusan berasaskan kepada kedudukan negeri, dan saya ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan yang berikan kata putus untuk kita putuskan bertanding.

“Jangan ada pihak yang beranggapan bahawa apabila sesuatu kerusi itu ditanding oleh komponen lain, ini seolah kita menafikan ahli komponen kita,” katanya lagi.

BN Perak sebelum itu melancarkan manifesto peringkat negeri Perak yang menggariskan tujuh teras utama yang menjadi janji kepada rakyat Perak sempena PRU-14, 9 Mei depan. -MalaysiaGazette


ISU CALON WANITA: PH GAGAL CAPAI SASARAN




Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui Pakatan Harapan (PH) gagal mencapai sasaran bagi meletakkan sebanyak 30 peratus calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Beliau berkata kegagalan tersebut berpunca daripada kurangnya calon wibawa dalam kalangan wanita untuk diangkat mewakili PH.

“Walaupun kita nak laksanakan agenda 30 peratus calon wanita untuk bertanding namun kita mungkin tidak dapat mencapai sasaran tersebut.

“Kaum wanita masih kurang menceburkan diri dalam politik jadi kita perlukan masa untuk melatih mereka ke tahap yang memuaskan untuk menjadi seorang calon,” ujar beliau dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Jumaat.



Turut hadir ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri pengerusi PH, Tun Dr. Siti Hasmah dan Naib Presiden PKR, Tian Chua. Mengulas lanjut, Zuraida walau bagaimanapun berkata jumlah calon yang akan dipertandingkan pada kali ini tetap meningkat berbanding PRU sebelum ini.

“Setakat ini kita belum ada angka muktamad memandangkan parti komponen lain turut mempunyai calon wanita yang belum diumumkan. “Tetapi yang pasti akan berlaku peningkatan signifikan (calon wanita) berbanding dalam PRU-12 dan PRU-13,” katanya.


USAH ‘DISENGAT’ MAHATHIR KALI KEDUA- HADI




Islam melarang umatnya mengangkat kembali pemimpin yang telah mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat serta kepincangan dalam tadbir urus negara, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata demikian sebagai membalas kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkannya hanya layak menjadi ustaz pondok.

“Krisis yang berlaku hari ini seperti salah laku, politik wang termasuk merosakkan UMNO sendiri dan urus tadbir negara dia buat pasal, macam mana kita nak ulang (kepincangan dan salah laku) balik.

“Kita diajar oleh Nabi agar jangan sengat dua kali pada satu lubang. Jangan kepala yang sama menyengat kita sekali dan terus sekali lagi (di tempat yang sama),” katanya.

Abdul Hadi yang juga penyandang Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu kepada media selepas menyampaikan ceramah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Markaz PAS Kampung Rawai, Marang Terengganu, Rabu malam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman.

Abdul Hadi mengulas kenyataan Mahathir yang merendahkan beliau umpama ‘ustaz kampung’ seterusnya kembali mendalami ilmu agama selain tidak mempunyai pengetahuan dalam pentadbiran dan politik.



PAS BANGGA MISKIN, TETAP GAGAL ‘DIBELI’ MAHATHIR




PAS bangga meskipun digelar parti miskin, namun mereka tidak mudah dibeli oleh saudagar politik Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kegagalan itu kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz membuatkan Mahathir berdendam dengan parti itu.

Beliau berkata, semua pihak sedar bahawa kewangan PAS bergantung penuh kepada sifat budiman dan jihadiyah ahli dan penyokongnya.

Kata beliau, Pakatan Harapan (PH) dan Mahathir menyangka mereka boleh membeli PAS sebagaimana mudahnya mereka membeli Parti Amanah Negara (PAN)

“Tun (Mahathir), belilah PAN. Saya tak fikir harganya mahal. Mereka pun minta dibeli.

‘Maintenance‘ pun jimat,” sindirnya dalam satu kenyataan.

“Semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu, beliau gagal membeli almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Sehinggalah kini, ketika PH diambang keletihan menuju kekalahan, beliau terus gagal membeli Pesiden PAS. Dendam terus membiak daripada hitamnya kesombongan,” katanya.

PH sebelum ini mengingatkan PAS bahawa parti itu tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk bertanding sebanyak 160 kerusi Parlimen dalam PRU14.


Pas Selangor rasa selamat dengan persempadanan semula


Pas Selangor rasa selamat dengan persempadanan semula



Ketika rata-rata penganalisis politik menganggap persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk PRU-14 ini memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), lain pula reaksinya bagi pemimpin Pas Selangor.

Pesuruhjaya Pas negeri, Sallehin Mukhyi berkata, pihaknya yakin walaupun dengan persempadanan baharu itu mereka mampu menarik lebih banyak sokongan dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa parti itu.

“Pas mampu menang di beberapa kerusi Parlimen seperti Sungai Besar, Sabak Bernam dan Kuala Selangor,” dipetik daripada akhbar Sinar Harian.

Bagaimanapun, dari sudut negatif, ujarnya, Pas berdepan masalah apabila jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan dikurangkan.

Menurut penyandang Adun Sabak itu, partinya telah menyusun strategi dengan memasuki kawasan pengundi bukan Melayu terutama yang ditandingi DAP dan MCA.

“Antaranya Sungai Pelek, Sekinchan, Balakong, Teratai dan Kuala Kubu Baharu dengan meletakkan calon Melayu bagi menarik pengundi Melayu.

“Kesemua kawasan ini mempunyai pengundi Melayu 30 peratus dan ke atas,” katanya.

Pas Selangor masih yakin menang walau dengan persempadanan semula.

Untuk rekod, syor persempadanan semula oleh SPR yang diluluskan pada 28 Mac lalu menyaksikan Selangor paling terkesan apabila 18 daripada 22 kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) berubah.

Bagi Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula, partinya mendapat kelebihan untuk mengekalkan kemenangan dan menyelamatkan beberapa kerusi kritikal dengan persempadanan baharu di negeri itu.

“Awalnya ada kebimbangan di kerusi (Dun) Chempaka (kini N.21 Pandan Indah) disebabkan jumlah pengundi Melayu 53 peratus tapi selepas persempadanan semula, angka pengundi Melayu meningkat kepada 62.69 peratus,” katanya.

Jelasnya lagi, pertambahan pengundi Melayu di Dun Seri Serdang (N.29) daripada hanya 45 peratus kepada 59.74 peratus membantu kemenangan Pas.

Pada PRU-14 ini, Pas Selangor muktamad untuk bertanding di 20 daripada 22 Parlimen dan 47 daripada 56 Dun di negeri itu.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 126 kerusi Parlimen dan 323 Dun setakat ini belum termasuk Kelantan, Sabah dan Sarawak yang akan ditandingi Pas pada PRU-14.

Keputusan Pas Selangor bertanding di lebih 83 peratus kerusi Parlimen dan Dun itu menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru di negeri yang dua penggal terlepas dari tangan BN.

Selangor pada masa ini mempunyai 14 kerusi Dun DAP, PKR dan Pas masing-masing 13 kerusi, BN (12), AMANAH (2) dan dua lagi Bebas.

Bagi kedudukan semasa Parlimen, PKR mempunyai 9 kerusi, diikuti BN (5), DAP (4) manakala AMANAH (3) dan Pas hanya satu kerusi

Tiada faktor ‘wow’ dalam lawatan Najib ke Kukup



Sambutan hambar untuk Najib di Kukup.


Kehadiran Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak ke kawasan Kukup menjadi perhatian penduduk kampung di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Namun apa yang dinantikan oleh penduduk kampung ternyata hampa apabila kehadiran Najib tidak mendatangkan apa-apa perubahan yang besar di kawasan ini.

Menurut bakal calon Pakatan Harapan (PH) DUN N56 Kukup, Suhaizan Kaiat berkata bantuan yang diberikan ketika Najib hadir di Kukup tidak menyeluruh.

“Najib mengecewakan pemimpin tempatan kerana apa yang dimahukan oleh mereka sepertinya tidak direalisasikan oleh Najib.

“Faktor ‘Wow’ yang dinantikan ternyata tidak wujud. Ternyata fokus kepada pembangunan di bahagian barat daya Johor ini tidak ada apa-apa yang menarik.

“Apa yang diminta oleh Umno Bahagian dan Menteri Besar Johor untuk Tanjung Piai ini majoritinya tidak ditunaikan malah penduduk teramai di Kukup ini tidak mendapat hasil dari apa yang diberikan.

SUHAIZAN…calon PH di Kukup.

“Selain itu, kehadiran yang tidak menepati sasaran dalan program itu juga cerminan kepada kegagalan kepada Najib,” ujar Suhaizan.

Peruntukkan yang dijanjikan oleh Najib Razak yang membabitkan DUN Kukup ini adalah, peruntukkan sebanyak RM 3 juta kepada penternak dan nelayan, RM 3 juta kepada kaum kaum cina dan pembesaran Hospital Pontian.

Sebelum ini ceramah yang dibuat di Kukup itu telah mendatangkan tanda tanya ramai pihak apabila kehadiran Najib dilihat seperti tergesa-gesa yang memgambil masa hanya tiga hari.

Ceramah tersebut dihadiri orang ramai sekitar 3000 hadirin dan ceramah tersebut dilihat hambar.

Orang ramai tidak memberi reaksi ghairah kepada ucapan Najib menyebabkan ucapannya kurang bertenaga pada majlis tersebut.

Antara 'dedak tauke' dan 'sumbangan awam'

DR MOHD ZUHDI MARZUKI 






PARTI Amanah Negara (PAN) sememangnya sebuah parti yang tidak menyumbang kepada pembangunan pendidikan politik (political education) yang sihat, tetapi hidup bergelumang dengan politik fitnah dengan memberi persepsi buruk kepada parti lawan.

Jika Dato Mahfuz Omar yang bergelumang dengan pendekatan itu mungkin boleh diterima kerana sememangnya itulah modal politik beliau. Akan tetapi, sekiranya dua orang pimpinan PAN yang mempunyai ijazah PhD dalam bidang Sains Politik turut bergelumang dengan politik fitnah, ia sememangnya menyedihkan.

Seperti yang telah saya jelaskan dalam kenyataan sebelum ini, kaedah PAS memperolehi dana untuk membiayai kempen PRU melalui pendanaan awam (crowdfunding), merupakan satu kaedah yang paling berintegriti.

Melalui kaedah itu, PAS tidak terikat dengan apa-apa kepentingan penyumbang dana dan kemasukan sumbangan dana ke akaun umum PAS adalah telus dan boleh disemak oleh khalayak umum.

Kebanyakan parti politik memilih cara yang tidak bermoral dalam memperolehi dana politik, iaitu sumbangan melalui proksi dan penyumbangnya mempunyai kepentingan.

Sebelum ini, banyak parti-parti yang terlibat dengan pilihan raya di Malaysia mendapat sumbangan dengan cara yang tidak berintegriti. Sumbangan yang diterima sama ada dimasukkan ke akaun individu atau akaun proksi untuk mengelakkan disemak oleh khalayak umum. Dengan kaedah ini mereka boleh memperolehi sumbangan dari tauke-tauke berkepentingan, industri haram seperti kongsi gelap dan pihak-pihak asing seumpama Zionist serta Evangelis. Hanya PAS yang menolak kaedah seperti ini.

Seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung PAS baru-baru ini, PAS sangat tegas untuk tidak menerima sumbangan yang haram dan sumbangan yang bersifat sogokan (penyumbang mempunyai kepentingan sebagai balasan). Dengan sebab itu sejak tahun 1951, kaedah pengumpulan dana PAS adalah telus iaitu melalui pendanaan awam dan di setiap Mesyuarat Bulanan PAS Pusat serta Muktamar Tahunan PAS kemasukan sumbangan ini akan diaudit. Oleh sebab itu, bila kerajaan berhasrat menggubal akta berkaitan dana dan perbelanjaan politik, PAS yang paling awal mengalu-alukan.

Hari ini timbul semula tentang DAP mendapat manfaat politik hasil sumbangan RM 50 juta daripada seorang tauke bernama Koon Yew Yin. Tauke yang sama pernah memberi sumbangan kepada PAN Perak sebanyak RM 500 ribu, dan dia berjanji akan memberi 10 kali ganda lagi sumbangan untuk PAN Perak supaya berkerja keras menawan Perak.

Sekiranya sumbangan 10 kali ganda itu diperolehi sekarang bermakna PAN Perak sahaja memperolehi sumbangan RM 5 juta. Apa motif tauke ini memberi sumbangan kepada PAN Perak? Dato Mahfuz sebagai Naib Presiden PAN sepatutnya menjawab perkara ini.

*DR MOHD ZUHDI MARZUKI  , Pengarah Pusat Penyelidikan PAS - HARAKAHDAILY 



2 tawaran istimewa PAS kepada siswazah

DAYANG PUTERI NAZIRAH





KUALA LUMPUR: PAS menawarkan dua solusi kepada para siswazah berhubung isu pendidikan, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Isu pendidikan yang menjadi persoalan kini adalah bebanan yang ditanggung oleh rakyat untuk mereka masuk ke alam pengajian tinggi disebabkan oleh yurannya yang di luar kemampuan rakyat,

“Oleh kerana itu, rakyat hari ini terpaksa pinjam dengan satu tabung yang namanya PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan apabila mereka habis belajar mereka terbeban dengan hutang tersebut.” kata beliau dalam rancangan Bicara Malaysia Sejahtera yang disiarkan di FB Live, malam tadi.

takiri2
Menurutnya, jika hutang tersebut tidak dibayar dalam tempoh setahun, maka mereka boleh disenaraihitamkan.

Sehubungan itu, katanya PAS menawarkan dua penyelesaian kepada isu pendidikan itu kepada golongan siswazah khususnya anak muda.

“Pertama, berhubung dengan PTPTN, kita akan hapuskan. Kita lupuskan segala hutang yang sedang ditanggung oleh pelajar-pelajar yang baru habis pengajian ini. Ini adalah bagi jangka masa pendek,” ujarnya.

Beliau menambah, manakala bagi perancangan jangka masa panjang pula adalah berkenaan tabung yang bersifat hibah.

Kaedah itu, kata beliau akan membawa ke arah menjadikan yuran pengajian di peringkat universiti awam secara percuma.

“Macam mana seseorang yang nak berlari dengan membawa beban, boleh untuk berlari laju? Ini satu sekatan kepada rakyat muda khususnya. Kerana itu kita tawarkan kepada rakyat,” kata beliau menerangkan lagi konsep PTPTN yang membebankan para siswazah kini.HARAKAHDAILY 



Kembalikan kertas undi pos kepada RO sebelum 5 ptg 9 Mei – SPR

THE MALAYSIAN TIMES
 
Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Penjalanan Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Sarif Hassan berkata pengeluaran kertas undi pos bagi pengundi pos dalam negara dan Pengundi Tidak Hadir (PTH) di luar negara akan diproses oleh Pegawai Pengurus (RO) dan disaksikan wakil calon, selepas selesai proses penamaan calon.

Penamaan calon PRU14 ditetapkan pada 28 April, pengundian awal pada 5 Mei dan pengundian pada 9 Mei.

Katanya RO bahagian pilihan raya yang mempunyai pengundi pos termasuk PTH akan mengeluarkan kertas-kertas undi pos berkenaan seawal mungkin walaupun ada cuti umum Hari Pekerja 1 Mei.

“Keutamaan pengeluaran kertas undi pos akan mendahulukan kertas undi kepada Pengundi Tidak Hadir luar negara kerana ia perlu melalui proses penghantaran yang bergantung kepada khidmat kurier dan penerbangan ke destinasi pengundi.

“Tempoh kertas undi pos sampai ke tangan pengundi (PTH) ini berbeza-beza mengikut lokasi bergantung kepada jarak dan penerbangan ke destinasi. Kertas undi akan dihantar terus ke alamat yang dikemukakan pengundi dalam Borang 1B.

“Oleh itu, jangan lengah-lengah. Sejurus terima, lengkapkan Borang 2 dan pangkah kertas undi dan segerakan penghantaran sampul balik ke Malaysia. Jika lengah, risiko untuk kertas undi tak sampai ke RO masing-masing tinggi. Sampul kertas undi mesti sampai kepada RO sebelum 5 petang,” katanya kepada Bernama di sini.

Terdapat 3,653 Pengundi Tidak Hadir (PTH) berdaftar di luar negara yang terdiri daripada penjawat awam dan penuntut sepenuh masa serta pasangan mereka pda PRU14.

Permohonan paling banyak diterima dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jerman.

Mohd Sarif berkata jumlah sebenar pengundi pos belum diketahui.

Jumlah pengundi pos menggunakan Borang 1A iaitu anggota  tentera dan polis, petugas media dan petugas pilihan raya yang bertugas pada hari pengundian hanya akan diketahui selepas tarikh permohonan ditutup pada  28 April manakala pengundi pos Borang 1C meliputi sembilan agensi pada 23 April ini.

Sambil menjelaskan  proses undi pos PRU14 berbeza dengan pengundian pos PRU13, Mohd Sarif berkata pengeluaran kertas undi kali ini tidak melalui pejabat perwakilan atau kedutaan Malaysia, sebaliknya terus ke alamat pengundi bagi memudahkan mereka, khususnya yang menetap jauh dari pejabat perwakilan atau kedutaan Malaysia.

Pengundi pos yang layak akan menerima sampul surat keutamaan yang mengandungi Sampul A, Sampul B dan Borang 2 (pengisytiharan identiti). Sampul A mengandungi dua sampul surat kecil kertas undi iaitu merah jambu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan putih (Parlimen), kecuali pengundi di Wilayah Persekutuan yang hanya akan mengundi kerusi Parlimen).

Pengundi perlu melengkapkan Borang 2, memangkah pada kertas undi, masukkan kertas undi di dalam sampul A. Masukkan Sampul A dan Borang 2 ke dalam Sampul B yang sudah dicetak alamat RO berkenaan dan poskan segera.

Mohd Sarif mengingatkan PTH agar memastikan Borang 2 diisi dengan lengkap dan mendapatkan tandatangan saksi iaitu warganegara Malaysia dan berumur 21 tahun ke atas, sebagai bukti penerima sampul kertas undi adalah pengundi pos yang berdaftar.

Borang 2 itu perlu dihantar kepada RO bersama kertas undi, menggunakan sampul sedia dicop alamat RO dan dipos menggunakan perkhidmatan pos atau kurier dengan kos ditanggung sendiri oleh pengundi.

Sampul undi pos diterima akan dibuka dengan disaksikan wakil calon sebelum dimasukkan ke dalam peti undi untuk proses pengiraan undi.

Pemilih berdaftar boleh membuat semakan menerusi empat cara iaitu menggunakan aplikasi pintar MySPR Semak; portal rasmi SPR www.spr.gov.my; SMS ke talian 15888 dengan menaip SPR no. kad pengenalan atau menghubungi talian SPR 03-88927018.— BERNAMA

Saman DOJ: ‘Pelik…kenapa masih tiada perbicaraan? – Arul Kanda

THE MALAYSIAN TIMES


HULU SELANGOR: Kelewatan pendengaran kes saman terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menunjukkan DOJ tidak mempunyai kes yang kukuh ke atas 1MDB, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan itu Arul Kanda Kandasamy.

Beliau berkata saman pelucutan hak aset belum lagi didengar sejak sidang akhbar sensasi pada Julai 2016, dan pada Mac lepas, DOJ meminta lanjutan enam bulan lagi yang akan berakhir pada September.

“Pelik … Jika DOJ mempunyai kes yang kuat, kenapa masih tiada perbicaraan selepas dua tahun?

“Bagi saya penghakiman yang lewat, keadilan dinafikan. Jika memang ada kes yang kuat dan sah, biarkan ia didengari,” katanya kepada pemberita selepas bercakap mengenai isu 1MDB di sini malam tadi.

DOJ mendakwa dana US$4.5 bilion wang cabang pelaburan strategik itu telah disalahgunakan dari tahun 2009 hingga 2015.

Arul Kanda berkata 1MDB, sebagai sebuah syarikat, akan membantu jika ia diminta, dan tindakan undang-undang mesti diambil berdasarkan undang-undang jika ada kesalahan.

“Dan kita semua mahu mendapat gambaran dan pemahaman yang jelas mengenai hal ini,” katanya, sambil menambah bahawa 1MDB bukanlah pihak kepada tuntutan DOJ itu.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata 1MDB sedang berunding dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) bagi mendapatkan semula deposit jaminan US$3.5 bilion yang telah dibuat kepada Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI) mengikut arahan dana kekayaan negara Abu Dhabi.

Beliau berkata tuntutan 1MDB adalah terhadap Aabar BVI, anak syarikat milik penuh Aabar Investment PJS, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh IPIC.

“Apa yang mereka lakukan (Aabar BVI) dengan wang itu, bukan dalam pengetahuan dan tanggungjawab kita, itu bukan syarikat kita.

“Sekiranya dakwaan DOJ itu betul, bahawa Aabar BVI membayar wang itu untuk membeli hartanah dan sebagainya, kita tidak boleh menuntut aset itu. Tuntutan kami terhadap Aabar BVI (bukan ke atas aset),” katanya.

Pada akhir Februari, pihak berkuasa Indonesia merampas kapal layar mewah, Equanimity, yang didakwa dikaitkan dengan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, di Telok Benoa, Bali atas arahan DOJ, sebagai sebahagian daripada siasatan saman bagi merampas aset berkenaan.

DOJ mendakwa kapal layar itu dibeli menggunakan dana yang disalurkan daripada 1MDB.

Sementara itu, dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, syarikat dana itu mengisytiharkan ia telah membayar sejumlah US$3.51 bilion kepada Aabar BVI.

Pembayaran itu termasuk US$1.367 bilion sebagai deposit jaminan bagi bon bernilai US$3.5 bilion pada 2012, US$993 bilion untuk penamatan opsyen yang diberikan kepada IPIC atau Aabar pada November 2014 dan US$855 juta dan US$295 juta lagi sebagai tambahan deposit jaminan, masing-masing pada September dan Disember 2014.

PAS mahu wujudkan demokrasi tenang

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

 
 
MARANG: PAS mahu memperkenalkan demokrasi yang tenang dan tidak menimbulkan ketegangan serta kekacauan sepertimana berlaku di negara Arab.
 
Justeru, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS memperkenalkan suatu gagasan yang ditunjukkan oleh Islam.
 
Menurutnya, parti-parti politik boleh berbeza pendapat, tetapi usah sampai berlaku perbalahan dan perkelahian sesama sendiri.
 
"Kita memperkenalkan gagasan yang ditunjukkan oleh Islam iaitu taawun. Kerjasama dalam perkara yang baik dan tidak kerjasama dalam perkara yang tidak baik.
 
"Ini menimbulkan demokrasi yang tenang dan tidak menimbulkan ketegangan. Kita tidak mahu perbezaan pendapat menimbulkan kekacauan dalam negara.
 
"Cukuplah apa yang berlaku di negara Arab. Kita (PAS) tidak mahu berlaku ketegangan hingga menimbulkan campur tangan asing. Biarlah kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan berbalah, berkelahi.
 
"Ini pendekatan yang kita (PAS) hendak bawa kepada rakyat," ujarnya selepas majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU14 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini kelmarin.
 
Sehubungan itu katanya, sasaran PAS bertanding 160 kerusi Parlimen kerana parti itu mempunyai jentera pilihan raya di semua peringkat Cawangan dan Kawasan.
 
Adapun kata Dato' Seri Abdul Hadi, parti-parti lain yang pernah bergabung dengan PAS sebelum ini banyak bergantung kepada jentera partinya.
 
"Kita (PAS) mempunyai 196 kawasan Parlimen di seluruh negara. Kita bertanding 160 parlimen dan kita bertanding di tempat yang kita ada Kawasan, kita ada Cawangan, kita ada jentera parti.
 
"Adapun parti-parti lain ada yang tidak ada cawangan. Pengalaman kita (PAS) dalam kerjasama dengan pihak lain termasuk Parti Melayu Semangat 46, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dahulu mereka menggunakan jentera parti kita. Mereka menang pun dengan jentera pilihan raya kita.
 
"Apa yang menarik, sudah tentu akan ada undi protes daripada Umno, yang tidak puas hati. Ini (sokongan) boleh datang kepada kita. Ini bukan sahaja kepada orang Islam juga mereka yang bukan Islam," jelasnya.

Pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Husain Awang mengumumkan 40 kerusi terdiri dari lapan Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini. - HARAKAHDAILY


PAS: Kenderaan baik, laju antara sumber bahagia manusia

MALAYSIAKINI

   

PRU14 | Selaras dengan saranan hadis, salah seorang pemimpin kanan PAS berkata jika parti itu mendapat mandat mereka mampu menyelesaikan masalah pemilikan kenderaan rakyat Malaysia.

Kata Datuk Dr Khairuddin Aman Razali memperoleh kenderaan yang baik dan laju adalah hak rakyat kerana ia adalah keperluan untuk seseorang bergerak ke sesuatu lokasi.

Memetik sebuah hadis yang menyebut mengenai salah satu sumber kebahagiaan seseorang ialah memiliki kenderaan laju, harakahdaily melaporkan, Khairuddin juga menjelaskan kenderaan laju boleh menjimatkan masa bagi sesuatu perjalanan.

Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkata antara penghalang anak muda mendapatkan kenderaan ketika ini ialah duti eksais yang dikenakan ke atas semua jenis kereta, sama ada import atau tempatan.

Justeru kata penyandang kerusi parlimen Kuala Nerus itu PAS melalui Gagasan Sejahtera menawarkan pelepasan atau rebat bagi duti eksais bagi penduduk yang tergolong dalam kategori B40.

“Mereka yang berpendapatan rendah ini, yang nak beli kereta untuk kali yang pertama iaitu kereta 1.3cc ke bawah (akan diberikan pelepasan)," katanya.

Anak muda ada peluang

PAS melancarkan manifestonya pada 18 Mac lalu bagi menghadapi PRU ke-14 tidak lama lagi.

Ada banyak perkara disentuh oleh parti berkenaan sebagai tawaran mereka bagi mendapatkan mandat menjadi kerajaan - atau sekurang-kurangnya menjadi kingmaker untuk Malaysia.

Melalui gagasan Malaysia Sejahtera itu PAS mencadangkan duti eksais bagi pembelian kenderaan pertama yang menggunakan enjin di bawah 1.3cc dikecualikan.

Untuk itu PAS menawarkan skim pinjaman tanpa faedah (qardul hasan) bagi membantu pembeli terbabit.

Namun untuk rekod cadangan mengecualikan duti eksais untuk kenderaan berenjin di bawah 1.3cc turut ditawarkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).




Kata Khairuddin PAS memberi peluang kepada anak-anak muda terutamanya lepasan universiti memiliki kenderaan tanpa perlu membayar harga yang terlalu tinggi.

Tambahnya, sesebuah kerajaan mesti membantu rakyat bagi mendapatkan keperluan mereka seperti kediaman dan kenderaan.

“Hari ini rakyat tiada pilihan. Mereka terpaksa membuat pinjaman di bank walaupun mereka tidak mempunyai pendapatan yang besar dan (dengan itu) tentulah mereka terpaksa membayar untung kepada perbankan yang sedia ada.

"Tetapi untuk kita bantu B40 kita tawarkan konsep pembiayaan qardul hasan," katanya.


Husni bukan lagi pilihan Umno Tambun

Yap Jia Hee dan Zulaikha Zulkifli
 
   
PRU14 | Walaupun Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kerusi Tambun, Umno bahagian itu tidak meletakkan namanya sebagai calon mereka pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Menurut sumber, bagi menggantikan Ahmad Husni, Umno Tambun mencalonkan timbalan ketua bahagia itu, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Ahmad Husni menjadi wakil rakyat bagi kerusi parlimen Tambun selama lima penggal sejak 1995.

Selain itu, sumber itu berkata lagi, nama Aminuddin juga dikemukakan kepada Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

“Kita tak tahu sama ada Zambry akan hantar nama Aminuddin kepada (Datuk Seri) Najib (Razak) atau Najib akan pilih Aminuddin sebagai calon Tambun.

“Tapi Umno Tambun sekarang sokong Aminuddin dan mahu Aminuddin sebagai anggota parlimen Tambun,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Menurutnya, hubungan Umno bahagian Tambun dengan Husni - bekas pemimpin mereka - tegang sejak beliau meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kabinet pada 2016.

"Bahagian (Umno) dan Husni sekarang sudah tak ngam,” kata sumber itu lagi.

Nada tak lagi sama

Sejak terlibat dengan politik dan menjadi ketua Umno Tambun pada 1993, karier politik Ahmad Husni begitu ‘lancar' sehingga beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan II pada 2009.

Pada ketika itu, portfolio Ahmad Husni termasuk menjadi jurucakap kerajaan mengenai perkara berkaitan 1MDB.

Selepas meletakkan jawatan, Husni kemudian mempersoalkan tentang keperluan 1MDB di Parlimen dan memberi amaran kepada BN bahawa isu berkenaan mungkin akan menghantui parti itu pada masa akan datang.

Bagaimanapun, setahun kemudian, Ahmad Husni mengejutkan ramai apabila mengubah nadanya dengan memuji perdana menteri dan mendakwa Malaysia "sifar rasuah di bawah pentadbiran Najib."

Pada Februari lalu pula, Ahmad Husni menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan parlimen Tambun sekiranya diberi mandat oleh Najib.

Sementara itu, sumber itu memberitahu Malaysiakini hubungan Husni dan Aminuddin sebelum ini umpama “guru dan pelajar”.

Namun, katanya, keadaan benar-benar berbeza sekarang.



Aminuddin merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Hulu Kinta dan mengambil alih tugas Ahmad Husni di Umno Tambun sejak 2016 dan turut aktif di kawasan itu, kata sumber tersebut.

Ketika ditanya sekiranya Najib yang juga presiden Umno mahukan Ahmad Husni kekal mewakili BN di Tambun, sumber itu berkata akar umbi kawasan berkenaan akan mematuhinya.

"Terpaksalah buat untuk menangkan BN. Sesetengah orang tak puas hati tapi kerja juga,” katanya.




Sementara itu, sumber lain pula memberitahu, beliau tidak yakin peluang Aminuddin untuk bertanding di Tambun memandangkan hubungan Ahmad Husni dan Najib amat rapat.

"Hubungan Ahmad Husni dengan Najib kuat, mereka kawan lama, Aminuddin hanya orang baru,” kata sumber itu.

Ketika Malaysiakini menghubungi Ahmad Husni, beliau enggan mengulas mengenai dakwaan Umno bahagian Tambun yang tidak menamakannya sebagai calon.

“Tak apa nanti kita bincang,” katanya ringkas.

Ahmad Husni merupakan salah seorang calon BN yang menampakkan peningkatan majoriti semasa pilihan raya umum ke-13.

Umno pecat serta merta 16 ahli mohon pembubaran parti

MALAYSIAKINI

   

Umno hari ini bertindak memecat serta-merta semua 16 anggota parti dari lima negeri yang menfailkan semakan kehakiman bagi pembubaran Umno di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam susulan kegagalan mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pemecatan itu berkuatkuasa hari ini dan selaras dengan Fasal 20.7 Perlembagaan Umno yang menyatakan mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan secara automatik hilang keahlian.

“Pemecatan itu juga mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak membenarkan apa jua perkara parti sama ada hal ehwal pengurusan, kewangan dan yang berkaitan dengan pentadbiran parti dibawa ke mahkamah.

“Kita tahu ada dalang dalam perkara ini, kita telah bersedia untuk apa jua kemungkinan dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak juga boleh menandatangani watikah untuk calon,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia.


  
Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mewakli semua 16 anggota Umno itu semalam berkata, susulan pemfailan mahkamah berhubung kesahihan Umno - Pengerusi BN dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak - tidak dapat menandatangani watikah calon Umno dan BN untuk PRU ke-14.

Menurutnya, Majlis Tertinggi dan bahagian Umno terbatal bermula semalam, manakala cawangan Umno terbatal sejak 1 Mac lalu.

Semalam, Malaysiakini melaporkan anggota bahagian Umno memfailkan permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membenarkan Umno lanjutan masa untuk mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mereka menamakan ROS dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai responden.

Mereka juga memohon perintah mandamus untuk mewajibkan ROS untuk menggunakan Seksyen 13, 14, 16 dan 66 Akta Pertubuhan untuk menyiasat Umno berdasarkan surat-menyurat yang dihantar kepada ROS.

Selain itu, mereka juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mengambil tindakan serta-merta ke atas Rauf kerana didakwa melanggar Perkara 9.3, 9.4, 15.3, 18.2 dan 10.16 Perlembagaan Umno kerana tidak mengadakan pemilihan parti dalam tempoh 18 bulan yang ditetapkan.

Di samping itu, mereka juga memohon supaya Umno dibubarkan sementara sebaik sahaja ROS menyelesaikan siasatannya berhubung dakwaan melanggar perlembagaan parti.

Mereka juga memohon mahkamah mewajibkan ROS untuk mengeluarkan notis di bawah Seksyen 14 (2) dan 14 (5) di bawah Akta Pertubuhan bagi notis pembubaran sementara dan pembubaran muktamad.

Secara tambahan, pemohon juga mahu mahkamah memaksa ROS untuk menggantung semua aktiviti Umno sehingga kes permohonan semakan kehakiman selesai.


Pemohon juga mahu pengisytiharan bahawa semua bahagian Umno dan Majlis Tertinggi Umno tidak mempunyai kuasa yang sah dari segi undang-undang untuk beruruasan dan terbatal atau terbubar berkuatkuasa semalam, 20 April 2018.

Mereka juga mahu perintah bahawa keseluruhan institusi atau pertubuhan yang dipanggil dan atau dikenali sebagai Umno adalah tidak sah dan terbabtal atau terbubar mulai semalam juga.

Ini berikutan hujah mereka bahawa hari terakhir untuk bahagian-bahagian mengadakan pemilihan mereka adalah pada 28 Februari dan hari terakhir untuk Majlis Tertinggi adalah pada 19 April lalu.

Kali terakhir, bahagian-bahagian Umno mengadakan pemilihan mereka adalah pada 31 Ogos 2013 dan sepatutnya pemilihan baru seharusnya diadakan pada 31 Ogos 2016 tetapi diberikan lanjutan masa 18 bulan oleh ROS.

16 pemohon berusia antara 30 hingga 55 tahun. Mereka adalah Salihudin Ahmad Khalid, Noor Halimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharuddin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Raafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad, dan Muhamad Hafizi Hashim.


Menteri turut jadi mangsa kegagalan sistem politik


Oleh


Pada 24hb Oktober 2016, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia (KKR) Rosnah Rashid Shirlin memberi jawapan kepada saya di Parlimen bahawa hanya RM80 juta lagi diperlukan untuk menyiapkan Laluan Persekutuan 50, iaitu Jalan Batu Pahat-Mersing yang menghubungkan Parit Raja, Ayer Hitam dan Kluang. 

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyatakan bahawa beliau merasa gembira kerana saya turut memperjuangkan penaiktarafan jalanraya yang lebih selamat sama seperti apa yang diperjuangkan olehnya pada 2004. Tetapi perbezaan antara saya dengan Wee adalah, saya hanya seorang Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menerima dana sebanyak RM5 juta setiap tahun untuk kawasan saya. 

Dibandingkan dengan Ahli Parlimen BN, Ahli Parlimen pembangkang menghadapi banyak rintangan untuk mendapat peruntukan. Contohnya, saya berulangkali meminta untuk mendapat peruntukan RM200,000 bagi memasang lampu jalan di simpang Taman Ria, Jalan Batu Pahat. 

KKR sudahpun memohon penyelesaian Jalan FT50 di bawah Rolling Plan 1 (RP 1) Rancangan Malaysia Kesebelas, tetapi, sehingga Rolling Plan 3, jalan tersebut masih belum diselesaikan. Rolling Plan 4 hanya akan disiapkan sepenuhnya pada bulan November tahun ini. Wee Ka Siong berjanji akan bekerja keras untuk menyiapkan pembinaan jalan. 

Melalui kajian kes keselamatan jalanraya FT50, kita boleh melihat kegagalan sistem politik di Malaysia. 

Pertama, desentralisasi adalah perkara yang amat penting. Rancangan Malaysia Kesebelas tidak memahami kesusahan rakyat. Rakyat bimbang bila menggunakan jalan tersebut. Perancangan jalanraya sepatutnya di bawah lingkungan kuasa kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, terutamanya jalan seperti FT50 yang menghubungkan lebih daripada satu daerah, dimana ia lebih sesuai untuk dirancang dan dijaga oleh kerajaan negeri Johor. 

Kedua, reformasi institusi pentadbiran juga amat penting. Dari segi peruntukan, kami lihat kuasa tertumpu di Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Kalau tidak dapat kelulusan dari EPU, KKR tidak boleh menjalankan kerja mereka. Sistem politik kerajaan Najib telah menyerap kuasa dari kementerian-kementerian yang lain. Memiliki kuasa dalam pembahagian dana, turut mengukuhkan kuasa Jabatan Perdana Menteri. Bila KKR memerlukan RM80 juta, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri.

Dalam 15 tahun ini, Wee Ka Siong sebenarnya boleh membuat pencapaian yang lebih baik dari sekarang seperti membetulkan sistem politik yang kian rosak. Kalau seorang Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri pun perlu mendapat ‘kelulusan’ untuk menyiapkan jalan raya, ia jelas menunjukkan sistem politik di Malaysia bermasalah. 

Mereformasi institusi pentadbiran dan politik merupakan antara janji-janji Pakatan Harapan di dalam manifesto kita. Jika Pakatan Harapan menang dalam PRU14 ini, kita akan berjuang untuk mereformasi institusi pentadbiran, termasuklah menyusun semula Jabatan Perdana Menteri dan merealisasikan federalisme, mengagihkan kuasa jabatan perdana menteri kepada kementerian yang lain, dan mengembalikan kuasa membuat keputusan dan pengurusan kewangan kepada kerajaan negeri. Ini adalah janji-janji Pakatan Harapan kepada rakyat Malaysia, untuk membina harapan yang baru di negara ini. 

Baru-baru ini, saya ditanya oleh pihak media pendapat saya jika dijemput mereka untuk berdebat dengan Wee Ka Siong atas topik imaginasi dan visi kita terhadap masa depan Malaysia. Jawapan saya pastilah saya sudi. Saya masih percaya Wee Ka Siong adalah pendebat yang terhandal di MCA. 
Dengan sesi debat tersebut diharap dapat memperkayakan fikiran kita. – Roketkini.com


Ambil salinan IC, dapat ‘ang pow’ RM1000 & makan besar di Tawau?


 Roketkini.com
 
DAP Tawau hari ini melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan politik wang yang berlaku di Tawau, lebih buruk lagi, perkara itu berlaku lebih awal sebelum tempoh kempen pilihan raya bermula.

Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat oleh DAP Tawau oleh wakil calon DUN N57 Sri Tanjong Philip Yap dan Liew Ching Yee sebentar tadi.

Perkara ini didedahkan ekoran aduan sebahagian masyarakat di sini berhubung tindakan seorang calon berpotensi Barisan Nasional yang telah mengadakan jamuan makan malam di sebuah restoran dan memberikan sagu hati ‘ang pow’ dipercayai didalangi tiga syarikat besar.

Dalam satu kenyataan, Philip Yap berkata, keadaan seperti ini tidak wajar berlaku kerana ia dilihat akan menggadaikan maruah generasi akan datang.

“Walaupun Sabah merupakan negeri yang kaya dengan sumber, namun di bawah pemerintahan Barisan Nasional, kedudukan ekonomi semakin buruk.

“Sekiranya dakwaan sedemikian terbukti benar di mana wujud campur tangan syarikat tertentu terhadap politik, maka ia menunjukkan adanya pakatan sulit parti politik – syarikat,” katanya.

Beliau turut mengkritik apabila kekayaan sumber Sabah dan peluang pekerjaan yang dimonopoli oleh syarikat tertentu yang memcampuri urusan politik.

“Kerajaan diingatkan supaya mentadbir dengan telus dan menghapuskan monopoli, berkongsi kemakmuran dengan adil kepada seluruh rakyat dan tidak hanya berlegar dalam kumpulan kecil golongan tertentu sahaja.

“Saya amat prihatin dan gusar, jika individu terbabit dicalonkan, ia merupakan indikasi bahawa parti yang diwakilinya mengamalkan politik wang; bukan sahaja membenarkan syarikat menerima manfaat dari politik tetapi juga telah memanipulasi politik,” kata Yap.

Beliau justeru menggesa para pengundi menjalankan tanggungjawab mereka untuk menumpaskan segala bentuk politik wang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini. Pemilihan calon perlulah berdasarkan kebolehan dan kelayakan sewajarnya dan bukan melalui ‘pertolongan’ syarikat-syarikat tertentu.

“Jika segala dakwaan ‘makan besar’ dan ‘suapan wang’ ini terbukti benar dilaksanakan demi mensapatkan undi, maka ia jelas telah melanggar undang-undang dan mencabar demokrasi,” jelasnya.

Berdasarkan aduan sebahagian warga Tawau yang menghadiri majlis makan malam tersebut, mereka diminta membawa sesalinan Kad Pengenalan untuk menerima RM1,000 sebagai imbuhan.

“Saya menggesa SPR dan polis bertindak menyiasat perkara ini sama ada tindak tanduk tersebut telah melanggar mana-mana undang-undang anti-rasuah,” katanya lagi. – Roketkini.com

Najib selar anggota DAP hina Seng Giaw

ANTARAPOS

Post Pic


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam menyelar anggota parti pembangkang DAP kerana menggelar pemimpin setia dan veteran parti itu, Dr Tan Seng Giaw, sebagai seorang pengkhianat dan 'anjing suruhan'.

Dalam catatan terbaru beliau di Twitter, Perdana Menteri memetik satu artikel dalam sebuah akhbar tempatan dan berkata "amat menyedihkan melihat seorang ahli politik veteran dan berprinsip telah dihina hanya kerana beliau berpegang pada kebenaran".

"Jika beginilah cara DAP melayani orang mereka sendiri, boleh dibayangkan bagaimana mereka akan melayani rakan-rakan 'sementara' mereka sekiranya mereka berkuasa?" soal beliau.

Dalam artikel bertajuk 'DAP loyalist branded 'running dog' for speaking truth' (pemimpin setia DAP digelar 'anjing suruhan' kerana bercakap benar) diterbitkan semalam, Seng Giaw turut mempersoalkan rasional dan motif di sebalik tindakan ahli DAP melabelkan beliau sebagai 'anjing suruhan' dan pengkhianat parti.

Dilaporkan, Seng Giaw didakwa tidak disenangi oleh pucuk pimpinan DAP kerana pada 2016, sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), beliau menyatakan tiada bukti untuk mengaitkan Najib dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau juga mengkritik kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP berhubung pengurusan alam sekitar.

NGO tolak Aziz Bari bertanding di Perak

ANTARAPOS

Post Pic


IPOH:  Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, Jaringan Bersatu Sahabat Perak (Jabat) menolak kehadiran calon Melayu tunggal dari DAP, Dr. Abdul Aziz Bari bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertingginya, Mohd. Ishraqi Sulaiman berkata, Abdul Aziz pernah terlibat dalam kontroversi mengkritik institusi raja.

Menurutnya, tindakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertentangan dengan Rukun Negara.

"Tindakan beliau bukan sahaja menghina institusi raja-raja Melayu tetapi juga menghina Perlembagaan Negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Abdul Aziz, 59, diumumkan bertanding di DUN Tebing Tinggi di bawah Parlimen Ipoh Timur dalam majlis pengumuman calon DAP yang akan bertanding dalam Pru-14 di Perak.


Imam Palestin maut ditembak dua lelaki


ANTARAPOS

Post Pic


KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah di sebuah universiti swasta yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung seorang lelaki Arab berusia 35 tahun ditembak, dipercayai oleh dua lelaki yang menaiki motosikal, di hadapan kondominium itu kira-kira jam 6 pagi.

Mangsa dikatakan sedang berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

"Siasatan awal mendapati suspek menaiki motosikal melepaskan lebih 10 das tembakan. Pemeriksaan awal mendapati terdapat empat kesan tembakan dikesan pada badan mangsa.

"Polis turut menemui dua kelongsong peluru di lokasi kejadian. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa sudah berkahwin dan tinggal di kondominium berkenaan.

Jangan jual undi , ingat pesan tok guru - kata Tuan Ibrahim

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan pengundi di Kelantan agar tidak 'menggadai' undi semata-mata kerana sogokan yang diberikan parti pembangkang di negeri berkenaan.
 
Sebaliknya beliau menegaskan pengundi perlu berpegang teguh kepada ungkapan yang sering dilontarkan bekas Menteri Besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
"Di Kelantan ada dua perkara utama iaitu bila BN menganggap apabila mereka mengenakan tekanan maka rakyat Kelantan akan berubah seperti pembangunan tak diberi, lebuh raya tak dibuat tapi sebenarnya masyarakat Kelantan tidak akan berubah.
 
"Yang keduanya yang tok guru sebut orang beri barang dan sebagainya sebab rakyat Kelantan diajar supaya jangan gadai prinsip perjuangan dengan kebendaan," katanya kepada Antarapos.
 
Ini kerana menurut Tuan Ibrahim, legasi pentadbiran Islam di bawah PAS perlu dipertahankan dan jangan sesekali menjual undi hanya kerana wang ringgit yang ditawarkan kepada mereka.
 
"Ya (perlu dipertahankan)," katanya.
 
Selain itu ujar Tuan Ibrahim, masa depan pengundi adalah lebih bernilai berbanding dengan wang ringgit yang cuba disogokkan dan keutamaan perlu diberikan semasa hari pengundian pada 9 Mei depan.
 
"Sebab nilai benda yang diberi itu hak rakyat dikembalikan semula jadi kita ambil tapi dari segi maruah parti dan undi tetap kita pertahan.
 
"Jadi saya rasa Kelantan sudah biasa dengan soal itu dan tidak akan terpengaruh dengan apa yang disogok kepada mereka," katanya.
 
PAS ialah kuasa politik paling dominan di Kelantan sejak Pilihan Raya Umum 1990 sehingga sekarang dan tidak dapat dinafikan PAS mempunyai pengaruh kuat di Kelantan khususnya ketika pentadbiran Kelantan di bawah pimpinan Nik Abdul Aziz yang menjadi Menteri Besar (1990 hingga 6 Mei 2013).
 
Beberapa perkembangan politik berlaku selepas pemergiannya bermula PAS keluar Pakatan Rakyat disusuli pergolakan dalaman PAS sehingga terbentuk Amanh sementara Pakatan Harapan (PH) menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PPBM  pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai PH.
 
Pada PRU14 ini PAS bakal berdepan cabaran BN dan PH yang buat kali pertama diketuai Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Ahmad Yakob merangkap Menteri Besar bagi menempuh pilihan raya umum kali ini.
 
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata beliau yakin pengundi di Kelantan bijak membuat pilihan mereka dan tidak mudah terjebak dengan tawaran sedemikian.
 
"Kalau kita lihat Kelantan ini negeri yang kita bina berasaskan ilmu, maknanya masyarakat Kelantan boleh menilai tentang apa yang telah kita laksanakan di sana sebagai contoh perubahan ekonomi yang berlaku termasuk kepesatan pembangunannya, belanjawan yang telus bajet dan kemampuan urus tadbir negeri.
 
"Itu di antara beberapa faktor yang mampu menyumbang kepada kekuatan PAS dan yang kedua dari segi masyarakat Kelantan yang berilmu yang mana perubahan itu berasaskan ilmu bukan berdasarkan emosi," katanya.
 
Untuk rekod dari segi bilangan kerusi DUN melalui PRU13 lalu, PAS mendapat 31 kerusi DUN (seorang anggota DUN keluar, iaitu anggota DUN Salor dan menjadi anggota Amanah) berbanding 45 kerusi keseluruhan.
 
 

Calon BN diketahui esok hingga Selasa

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan senarai calon untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilakukan esok hingga Selasa ini oleh Pengerusi BN negeri.
 
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada semua Pengerusi BN negeri dan terpulang kepada mereka untuk membuat pengumuman dalam tempoh itu.
 
Tengku Adnan merangkap Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata, untuk peringkat Wilayah Persekutuan pengumuman calon serta manifesto akan dibuat esok pada pukul 9 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
 
“Kita telah mengeluarkan arahan agar pengumuman calon BN perlu dibuat bermula esok hingga Selasa ini, terpulang kepada Pengerusi BN negeri untuk membuat pengumuman dalam tempoh itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
 
Rata-rata parti seperti PKR, DAP, PPBM, Amanah dan PAS bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN) telah mula mengumumkan calon mereka untuk bertanding pada PRU14 yang akan berlangsung pada 9 Mei depan.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 28 April 2018 (Sabtu). 
 
Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei 2018 (Sabtu).
 
Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari iaitu bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11:45 malam pada 8 April.
 
 

Guna Muka Melayu Sukar Pulihkan Imej DAP Anti Melayu- Islam – Dr Kamarul


 

 

 

Bersungguh-sungguh sekali nampaknya DAP berusaha untuk menghapuskan persepsi bahawa ia adalah sebuah parti politik yang bersifat anti Melayu dan anti Islam.

Hari ini, 20 April 2018, lidah rasmi DAP, RoketKini, menyiarkan kenyataan peguam Syahredzan Johan, anak Tan Sri Johan Jaafar dan kolumnis akhbar MCA, The Star.

Disebutkan mengenai tindakan Syahredzan terjun membantu usaha kempen DAP bersama Pakatan Harapan di Johor baru-baru ini yang didakwa menarik perhatian ramai.

Dimuatkan juga pesanan Syahredzan: “Untuk orang Melayu khususnya, jangan gusar untuk menukar kerajaan. Hak Melayu dan Islam dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.”

Hari ini juga RoketKini menyiarkan kenyataan bekas aktres popular Wardina Safiyyah yang berkata beliau “tidak percaya DAP mahu mengambil alih dan tidak hormat Islam”.

Dimuatkan tulisan Wardina di laman Facebook: “DAP sebagai modal nak takutkan orang Islam? Sudah-sudahlah main sentimen agama. Orang sekarang dah bijak banyak.”

Masalah dengan penggunaan individu seperti Syahredzan dan Wardina untuk membaiki imej anti Melayu dan anti Islam DAP ini adalah ia hanya ucapan bukan perbuatan.

Walhal sudah lama pemimpin-pemimpin tinggi AMANAH dan PKR menyebut mengenai keperluan mengubah persepsi Pakatan Harapan tidak cukup Melayu Islam.

Di dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 November 2016 lagi Timbalan Ketua Wanita AMANAH, Aiman Athirah Al Jundi, menimbulkan perkara ini.

Kata Aiman, Pakatan Harapan perlu menyediakan dokumen agenda Melayu Islam bagi mengatasi masalah kebimbangan pengundi Melayu Islam pada PRU 14.

Tambah Aiman lagi, jika tawaran dokumen agenda baru Melayu Islam ini gagal dikeluarkan olehnya maka Pakatan Harapan akan mengalami kekalahan pada PRU 14.

Cakap-cakap mengenai keperluan meyakinkan pengundi Melayu Islam ini malah telah ditimbulkan pada 19 Januari 2016 lagi oleh Datuk Saifuddin Abdullah.

Datuk Saifuddin selaku Ketua Setiausaha Pakatan Harapan menyebut Dasar Bersama Pakatan Harapan akan diumum secara berperingkat bermula dengan “Naratif Melayu”.

Begitu juga dengan penegasan sama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, sendiri di dalam Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia anjuran DAP pada 7 Februari 2017.

Mohamad menyebut, pada PRU 13, janji Pakatan Rakyat cukup menarik seperti “nak hapuskan PTPTN, nak hapuskan tol, nak beri elaun kepada wanita yang tidak bekerja”.

Malangnya, kata Mohamad, Pakatan Rakyat kalah pada PRU 13 kerana gagal meyakinkan orang Melayu mengenai jaminan nasib mereka jika ia menang pada PRU 13.

Kata Mohamad, pada PRU 14 pun isunya sama, isu dah terlalu banyak, tetapi persoalannya ialah untuk membina keyakinan orang Melayu apa akan jadi kepada mereka.

Begitupun, di sebalik desakan Aiman, di sebalik janji Datuk Saifuddin dan di sebalik keluhan Mohamad, agenda baru Melayu Islam dan Naratif Melayu tidak juga kunjung tiba.

Ditambah pula dengan pelbagai kenyataan dan tindakan pemimpin DAP selepas itu yang semakin melemahkan keyakinan orang Melayu Islam terhadap Pakatan Harapan.

Tidak hairanlah bila Januari lalu kajian Wan Saiful Wan Jan yang diterbitkan oleh ISEAS mendapati 71% masyarakat Melayu Johor berpendapat DAP anti Melayu dan anti Islam.

Hari ini, kajian terbaru Wan Saiful yang diterbitkan oleh ISEAS mendapati pengundi Melayu bandar sendiri pun ragu-ragu untuk menyokong Pakatan Harapan kerana isu Melayu.

Ia, mengikut kajian terbaru Wan Saiful, berlaku walaupun pengundi Melayu bandar ini sangat tidak gembira dengan keadaan ekonomi negara dan bimbang dengan rasuah.

Oleh itu, araklah Tun Dr Mahathir Mohamad ke ceruk mana pun dan bawalah personaliti popular mana pun, Pakatan Harapan akan tetap kalah kerana isu Melayu Islam ini.

Pakatan Harapan tidak akan menang kerana orang Melayu Islam tidak yakin kepadanya dan ini malah terbukti di dalam kata-kata Aiman dan Mohamad serta kajian-kajian Wan Saiful.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM)



PAS Gesa Amanah Jawab Sumbangan Tauke RM50 Juta




SHAH ALAM – Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menggesa Parti Amanah Negara (Amanah) menjawab dakwaan yang sedang tular berhubung sumbangan RM50 juta oleh seorang tauke kepada DAP dan parti berkenaan bagi membiayai Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau mendakwa individu yang sama pernah memberi sumbangan kepada Amanah Perak sebanyak RM 500 ribu, dan berjanji akan memberi 10 kali ganda lagi sumbangan untuk Amanah Perak supaya berkerja keras menawan Perak.

“Sekiranya sumbangan 10 kali ganda itu diperolehi sekarang bermakna Amanah Perak sahaja memperolehi sumbangan RM 5 juta,” katanya.

Dalam kenyataannya, Mohd Zuhdi menyelar dakwaan Amanah berhubung sumbangan dana yang diperoleh Pas bagi membiayai PRU14.

Beliau menyifatkan Amanah sebagai sebuah parti yang tidak menyumbang kepada pembangunan pendidikan politik sihat, tetapi hidup bergelumang dengan politik fitnah dengan memberi persepsi buruk kepada parti lawan.

“Jika Datuk Mahfuz Omar yang bergelumang dengan pendekatan itu mungkin boleh diterima kerana sememangnya itulah modal politik beliau.

“Akan tetapi, sekiranya dua orang pimpinan Amanah yang mempunyai ijazah PhD dalam bidang Sains politik turut bergelumang dengan politik fitnah, ia sememangnya menyedihkan,” katanya.

Mohd Zuhdi berkata, seperti yang telah dijelaskan dalam kenyataan sebelum ini, kaedah Pas memperolehi dana untuk membiayai kempen PRU melalui dana awam, merupakan satu kaedah yang paling berintegriti.

“Melalui kaedah itu, Pas tidak terikat dengan apa-apa kepentingan penyumbang dana dan kemasukan sumbangan dana ke akaun umum Pas adalah telus dan boleh disemak oleh khalayak umum.

Kebanyakan parti politik memilih cara yang tidak bermoral dalam memperolehi dana politik, iaitu sumbangan melalui proksi dan penyumbangnya mempunyai kepentingan,” ujarnya.

Tambahnya, sebelum ini, banyak parti-parti yang terlibat dengan pilihanraya di Malaysia mendapat sumbangan dengan cara yang tidak berintegriti.

“Sumbangan yang diterima sama ada dimasukkan ke akaun individu atau akaun proksi untuk mengelakkan disemak oleh khalayak umum.

“Dengan kaedah ini mereka boleh memperolehi sumbangan dari tauke-tauke berkepentingan, industri haram seperti kongsi gelap dan pihak-pihak asing seumpama Zionist serta Evangelis. Hanya Pas yang menolak kaedah seperti ini,” jelasnya.

Tegasnya seperti yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung Pas baru-baru ini, parti itu sangat tegas untuk tidak menerima sumbangan yang haram dan sumbangan yang bersifat sogokan.

“Dengan sebab itu sejak tahun 1951, kaedah pengumpulan dana Pas adalah telus iaitu melalui pendanaan awam dan di setiap Mesyuarat Bulanan Pas Pusat serta Muktamar Tahunan Pas kemasukan sumbangan ini akan diaudit,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, bila kerajaan berhasrat menggubal akta berkaitan dana dan perbelanjaan politik, Pas yang paling awal mengalu-alukan – SH



Seremban dimasyhur sebagai bandar raya Januari 2019

Israr Khalid, Astro Awani
Seremban dimasyhur sebagai bandar raya Januari 2019
Mohamad memegang logo Majlis Bandaraya Seremban yang dirasmikan pada Majlis Prapelancaran Majlis Bandaraya Seremban di Dataran Nilai malam tadi. --fotoBERNAMA
 

NILAI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Jumaat menyempurnakan prapelancaran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sebagai simbolik penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Ia seterusnya bakal dimasyhurkan sebagai bandar raya secara rasmi pada Januari tahun depan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena ulang tahun keputeraannya yang ke-71.

Menurut Mohamad, penggabungan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjadi sebuah entiti dibuat awal bagi melancarkan usaha penaiktarafan perkhidmatan serta pembangunan di kawasan yang berada di bawah PBT tersebut.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan perkhidmatan kedua-dua majlis ini nampaknya begitu cemerlang dan pungutan hasil serta perkhidmatan untuk kita beri kepuasan kepada pelanggan telah menepati citarasa.

“Saya berharap dengan penggabungan ini pentadbiran akan menjadi lebih cekap dan perkhidmatan kepada pelanggan juga cemerlang kerana MBS adalah impian kita,” kata beliau semasa berucap menyempurnakan majlis tersebut di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut, turut dilancarkan logo MBS yang dipilih menerusi satu pertandingan yang dibuka kepada rakyat negeri itu.

Mohamad berkata, Kabinet sebenarnya sudah menawarkan status bandar raya kepada Seremban pada 2013, namun beliau pada ketika itu merasakan pihaknya masih memerlukan masa untuk memastikan prestasi perkhidmatan awam berada pada tahap membanggakan.

“MBS ini pengisytiharannya bersamaan dengan rancangan kita, iaitu pembangunan 30 Tahun Negeri Sembilan Moden 2015-2045.

“Pada masa saya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mengumumkan kawasan pembangunan wilayah tengah iaitu Malaysia Vision Valley (MVV) yang kita rancang supaya menjadi perbandaran masa hadapan,” katanya.

MVV merupakan pelan pembesaran wilayah Kuala Lumpur yang meliputi sehingga kawasan bawah seliaan MBS dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), merangkumi tanah seluas 153,000 hektar dari sempadan Selangor di Nilai sehingga ke Batu 13 Port Dickson.

Ia juga akan dibangunkan berasaskan teknologi hijau dengan konsep ‘from the mountain to the sea’, malah telah mewartakan lebih 3,000 hektar kawasan hutan di Mantin untuk dijadikan hutan rekreasi serta kira-kira 1,000 hektar lagi untuk dijadikan Central Park Labu.

Gagal panggil ‘mak cik’ Rosmah, Nurul mohon maaf

MALAYSIAKINI

   
 
Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini memohon maaf kepada isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang tersinggung dan mendakwa dirinya tidak menghormati orang yang lebih tua.

"Ikhlas, jika saya secara tidak sengaja memanggilnya hanya dengan namanya, saya mohon maaf, saya selalu cuba membahaskan dirinya dengan panggilan Datin Seri," katanya kepada Malaysiakini.

"Saya juga cuba sedaya upaya membataskan kritikan dan maklum balas bukan terhadap personaliti seseorang tetapi berdasarkan prinsip.

"Justeru, ini peringatan yang konsisten bagi kita semua untuk menumpukan terhadap pembaharuan sistemik, untuk memastikan tiada diktator lain dapat menyalahgunakan jawatan perdana menteri," katanya.

Nurul Izzah juga mendedahkan bahawa ibunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Rosmah pernah bersama menghadiri Kolej Tengku Kursiah di Seremban.

Bercakap kepada anggota Wanita BN di kawasan Lembah Pantai, Rosmah berkata beliau berkawan dengan Wan Azizah dan sering kali melawat rumah mereka, sebelum ini.

Dakwanya, Nurul Izzah yang dikenalinya sejak kecil lagi kini hanya memanggilnya dengan nama selain melemparkan pelbagai tuduhan ke atasnya.

"Saya tahu masa itu, saya tengok dia (Nurul Izzah) gigi pun tak ada lagi, masa dia umur 6 atau 7 tahun. Sekarang dia boleh panggil, dia tuduh saya macam-macam dalam media sosial media.

"Dia tak nak panggil saya Datin Seri Rosmah tak apa, panggilah aunty Rosmah ke, makcik Rosmah ke, ini tak, terus-terus panggil saya Rosmah Mansor,” katanya.

Justeru, tambah Rosmah, antara tujuannya menubuhkan program kebajikan Permata Negara adalah untuk mendidik kanak-kanak menghormati orang tua.

Bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk dalam penjara, dan Datuk Seri Najib Razak pernah menjadi sekutu dalam Umno.