Ahad, 21 Januari 2018

‘Abang Dara’ juara RBC Mencari CEO Desa

Nizam Zain
Juara, Mohd Azrie Mat Nor ketika membuat pembentangan mengenai produknya pada Majlis RBC Mencari CEO Desa di Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Pengasas produk tonik rambut berasaskan minyak kelapa dara, Mohd Azrie Mat Nor memenangi hadiah RM1 juta dan trofi selepas dinobatkan sebagai juara program Realiti RBC Mencari CEO Desa peringkat akhir, hari ini.
 
Mohd Azrie lebih dikenali sebagai Abang Dara itu memenangi kategori Pengembangan Perniagaan dan mengalahkan enam finalis lain sekali gus melayakkannya bergelar CEO bagi program yang bermula tahun lepas.

Menurut Mohd Azrie, sepanjang 13 minggu program realiti itu, beliau tidak menafikan produknya dengan jenama Myraco mula dikenali orang ramai susulan perniagaannya sebelum ini hanya dipasarkan secara dalam talian.

“Kalau sebelum ini orang tak kenal produk saya, selepas 13 episod saya masuk program ini orang mula kenal, orang mula tanya.

“Sebelum ini kita hanya pasarkan melalui online sahaja, bila masuk tv ini, kita lihat peningkatan jumlah pembelian secara bulanan itu semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Budaya, di sini, hari ini.

Selain itu, bagi kategori sama, tempat kedua pula dimenangi oleh usahawan alat ganti turbo, Mohd Yusof Umar dengan hadiah RM700,000 manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh pengasas teh berasaskan batang pokok kelapa sawit, Mohd Suhaidi Ja’apar dengan hadiah RM400,000 serta trofi.

Mohd Yusof menerusi syarikatnya, TurboDotCom juga memenangi hadiah RM10,000 selepas berjaya merangkul Anugerah Usahawah Online Terbaik.

Bagi kategori Idea Perniagaan pula, juara disandang oleh Muhammad Zahaby Zainuddin yang menghasilkan produk Liquid Water Enhancer dengan membawa pulang hadiah RM100,000 dan trofi.

Manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Nurul Idiza dan Mohd Alif, di mana masing-masing membawa pulang hadiah RM70,000 dan RM50,000 serta trofi.

Bagaimanapun finalis-finalis lain yang kecundang bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan itu turut membawa pulang geran berjumlah RM30,000 setiap seorang.

Kesemua hadiah program realiti itu disampaikan sendiri oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dolah; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood; Pengerusi MATRADE, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Datuk Nazim Rahman. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: