Sabtu, 20 Januari 2018

ADUN PH di Selangor juga lambat terima peruntukan, kata Sallehen

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Isu 'pembekuan' peruntukan kepada ADUN bukan hanya terjadi kepada PAS tetapi juga wakil rakyat daripada parti lain, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi.
 
Sallehen berkata beliau mendapat makluman bahawa masalah kelewatan mendapat peruntukan bagi membolehkan ADUN-ADUN menjalankan tugas wakil rakyatnya turut dialami parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).
 
"Peruntukan belum sampai ke pejabat daerah menyebabkan kos program yang sudah berjalan belum dapat dituntut lagi, masalah itu bukan hanya kepada ADUN PAS sahaja tetapi semua ADUN lain," katanya dipetik akhbar Sinar Harian.
 
Sallehen dalam pada itu mengesahkan mahu mengadap Sultan Selangor berhubung dakwaan 'pembekuan' peruntukan untuk ADUN PAS, namun memberitahu mahu menunggu surat rasmi daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terlebih dahulu.
 
"Benar, PAS Selangor bercadang mengadap Sultan Selangor tetapi belum ditetapkan waktunya masih menunggu surat hitam putih daripada kerajaan negeri dahulu," katanya.
 
Jelas Sallehen lagi Azmin sebelum ini tidak pernah menyentuh isu kelewatan peruntukan biarpun khabar angin bersabit perkara itu sudah kedengaran pada hujung tahun lalu.
 
"Hanya khabar angin mengenai pembekuan peruntukan itu diterima penghujung tahun lalu namun perkara itu tidak pernah dibincang atau diluahkan Azmin kepada PAS Selangor.
 
"Sekiranya pembekuan peruntukan itu berlaku, ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ADUN PAS mewakili kerajaan negeri yang dilantik oleh rakyat pada PRU13," katanya.
 
Tambahnya, pembekuan peruntukan itu hanya boleh dibuat selepas pembubaran Parlimen kelak. 


Tiada ulasan: