Ahad, 21 Januari 2018

DBKL sedang pasang jaring di PPR - Ku Nan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang giat memasang  jaring di projek-projek perumahan rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Ujar beliau, ia merupakan usaha dalam mempertingkatkan keselamatan penghuninya, susulan kematian remaja lelaki selepas ditimpa kerusi yang dicampak dari tingkat atas PPR Kuala Lumpur minggu lalu agar tidak berulang.
 
Jelas beliau, pemasangan itu akan merangkumi 494 blok PPR sekitar Kuala Lumpur yang melibatkan kira-kira 80,000 unit rumah.
 
“Ini merupakan kes kematian pertama seumpamanya tetapi tindakan membuang barang dari atas sudah berkali-kali berlaku. Jadi, kita akan mengadakan sesi penerangan yang lebih terperinci dilakukan oleh agensi seperti DBKL kepada penghuni tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan mereka.
 
“Bagi pemasangan jaring, ia dibiayai DBKL. Ada separuh tempat kita sudah mulakan dan kita memberi kepada DBKL untuk meletakkan jaring tertentu di bawah blok-blok PPR,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
 
Dalam kejadian pada Isnin lalu, seorang remaja lelaki maut selepas sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri di Blok 102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.
 
Susulan itu, polis telah merakam percakapan 31 individu bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.
 
Kesemua yang dipanggil itu terdiri daripada saksi serta penghuni di PPR setinggi 21 tingkat itu.
 
Kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu siasatan.
 
 

Tiada ulasan: