Selasa, 23 Januari 2018

Empat kereta keluarga pegawai kanan kastam terbakar

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Empat buah kereta milik seorang pegawai kanan kastam serta ahli keluarganya terbakar dalam satu kejadian kebakaran di rumahnya di Presint 11 di sini disyaki perbuatan khianat pada awal pagi hari ini.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, bahagian hadapan rumah itu juga hampir musnah dijilat api yang berpunca daripada letupan kereta tersebut.
 
Menurut Noorhayati Khairuddin, 57, dia dan suaminya Nor Azman Mat Jini yang juga Penolong Pengarah Kanan Kastam Bahagian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tersedar selepas mendengar jeritan jirannya yang meminta mereka segera menyelamatkan diri.
 
“Selepas dikejutkan daripada tidur, saya dan suami yang berada di bahagian atas terus turun ke bawah untuk kejutkan anak, menantu dan dua orang cucu.
 
“Ketika kejadian api mula marak di bahagian depan dan asap tebal mula menyelubungi tingkat bawah rumah sepenuhnya sehingga menyukarkan kami untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
 
Menurut Noorhayati, mereka sekeluarga berjaya menyelamatkan diri melalui pintu belakang rumah itu.
 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadam kebakaran itu sepenuhnya.
 
Katanya, buat masa ini pihak JBPM masih menyiasat punca kebakaran dan semua bukti telah dibawa ke makmal untuk tujuan forensik.
 
 

Tiada ulasan: