Ahad, 21 Januari 2018

Empat maut motosikal bergesel, terbabas

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
IPOH : Empat lelaki maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bergesel sebelum terbabas dan melanggar sebuah kereta lain di Kilometer 278.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pagi ini.
 
Dalam nahas pada pukul 5.36 pagi itu, Rafiq Hafizi Rahimi, 21, dan Mohd. Syarif Mohd. Said, 30, maut di tempat kejadian manakala Muhsin Muhammad Wazer, 23, dan Mohammad Hafiz Jabon, 33, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
 
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tambi berkata, saksi kejadian iaitu pemandu kereta jenis Proton Iswara memberitahu, ketika kejadian kedua-dua buah motosikal datang dari arah Simpang Pulai menghala ke Ipoh.
 
Katanya dipetik Utusan Malaysia, dua buah motosikal tersebut telah bergesel sesama sendiri dalam kelajuan yang agak tinggi.
 
“Dua buah motosikal iaitu Kawasaki Ninja dan Yamaha RXZ itu kemudiannya terbabas dan melanggar belakang kereta Proton Iswara yang berapa di bahagian hadapan arah yang sama.
 
“Pelanggaran itu mengakibatkan motosikal jenis Yamaha RXZ melambung dan jatuh ke jalan kecil di tepi lebuh raya. Penunggang dan pembonceng motosikal itu maut di tempat kejadian,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: