Baru-baru ini, parti itu diuji lagi apabila Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad membangkitkan isu Memali dan mengaitkan Pas menerusi Amanat Hadi dan yang terbaharu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bertindak keluar parti. Ikuti wawancara ringkas wartawan ZAAIN ZIN bersama Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan membincangkan mengenai isu-isu terkini melanda Pas dan persiapan parti itu menjelang PRU-14.
 
SOALAN: Tahun 2018 sudah membuka tirai dan dengan kata lain, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin hampir. Bagaimana persiapan Pas setakat ini?
TAKIYUDDIN: Semalam, kita telah buat mesyuarat khas Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Kuala Lumpur dan mesyuarat itu khusus membincangkan tentang PRU-14. Kita telah dengar taklimat daripada Ketua Pengarah Pilihan Raya Pusat, Dr. Samsuri Mokhtar. Beliau melaporkan persiapan di semua peringkat belum 100 peratus, tapi semuanya sudah di tahap siap siaga bagi menghadapi PRU-14 pada bila-bila masa sahaja.
Sebagaimana kenyataan Pre­siden, kali ini Pas bertanding di blok sendiri iaitu blok ketiga dipanggil Gagasan Sejahtera. Dalam gagasan ini ada Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan Berjasa. Dalam gagasan ini kita juga ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bukan kerajaan (NGI). Ini adalah orang yang akan menjadi calon-calon blok ini dalam PRU-14.
Kita akan bertanding lebih 100 kerusi. Pada 2013, kita cuma bertanding 73 kerusi kerana ketika itu kita ada dalam Pakatan Rakyat. Tahun ini kita akan bahagi dalam kalangan Gagasan Sejahtera, cuma semuanya belum ditetapkan.
Saya sahkan calon untuk Pas semuanya sudah ada untuk semua kawasan di seluruh negara. Pas setiap negeri sudah kemukakan calon untuk seluruh kawasan Parlimen dan DUN. Tapisan senarai calon peringkat akhir pula dibuat Majlis Syura Ulama pada 21 Disember lalu. Ada calon lulus, ada yang tidak. Ini cara Pas. Mesti diluluskan Majlis Syura. Dalam konteks Kelantan, kira-kira 30 peratus muka baharu.
Pandangan Datuk mengenai keputusan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar keluar Pas.
Saya menerima e-mel mengenai surat keluar parti pada pukul 5.04 petang semalam. Dalam perlembagaan Pas ada banyak cara keluar parti, sama ada permintaan sendiri, dipecat atau isytihar masuk parti lain
Dia pilih kaedah pertama di bawah Fasal 15 (1a) Perlembagaan Pas iaitu keberhentian seseorang ahli melalui permintaan sendiri. Beliau telah isytihar berhenti menjadi ahli Pas mulai 31 Disember berkuatkuasa 11.59 malam. Beliau beri pelbagai alasan keluar parti tapi saya ringkaskan menjadi empat. Pertama, ekoran tindak tanduk tidak sihat Pas dalam menguruskan hal berkaitan perjuangan Islam.
Beliau mendakwa RUU355 sekarang dilihat menjadi alat Pas untuk kepentingan politik semata-mata. Ini tidak benar. Mahfuz sendiri seorang Ahli Parlimen yang tidak pernah ambil tahu tentang RUU355 ini. Tiba-tiba dalam sesi Parlimen berakhir 30 November lalu, apabila RUU355 tidak di­sambung perbahasan, dia melompat konon dia paling kecewa.
Saya hendak jelaskan RUU355 ini bertaraf rang undang-undang persendirian yang dibawa Pre­siden yang juga Ahli Parlimen Marang ke Parlimen. Pas dah berjaya membawa usul ini dan dibahaskan. Sekarang terserah kepada Parlimen sama ada nak membenarkan perbahasan atau tidak. Dan ini bukan kuasa Pas. Kalau Pas belum bawa RUU355, bolehlah dia kecewa.
Alasan kedua, sikap berkecuali diambil Pas dalam isu bajet beberapa tahun mutakhir ini, iaitu kali terakhir dalam pengundian Bajet 2018 yang dia kata sebagai pengkhianatan kepada penderitaan rakyat.
Pas memang ambil sikap berkecuali kerana kita anggap bajet ini ada banyak perkara kita tidak setuju tetapi kita akui ba­nyak yang baik untuk rakyat. Bukan 100 peratus tidak baik. Kita nak tolak tak boleh, terima tak boleh. Jadi kita ambil berkecuali. Bukan bermakna Pas sentiasa ambil sikap berkecuali. RUU355 kita sokong. Isu Akta 164 kita tentang. Kita bersikap rasional ke­rana sikap kita sekarang mencerminkan budaya politik matang dan sejahtera.
Alasan ketiga, beliau kecewa pendirian Pas hanya menyasarkan untuk menang 40 kerusi. Kenapa pula susah hati? Adakah sepatutnya Pas menang 222 kerusi? Kita kena rasional, 40 adalah sasaran minimum. Dalam sejarah, paling banyak kita menang 29 kerusi. Kita tahu kekuatan kita. Ini logik dan munasabah.
Alasan keempat, Pas kini sedang bertindak memencilkan diri daripada rakyat terbanyak dan tidak mendepani arus politik perdana. Macam mana dia boleh kata macam itu. Dia mengukur sam­butan terhadap Pas berdasarkan merosotnya jualan Harakah. Sedangkan zaman sekarang semua media cetak merosot.
Ini satu alasan dibuat-buat. Kalau nak pergi, pergi sahaja tak payah bagi alasan. Kami tak perlu alasan anda. Saya dukacita bagi pihak dia, saya ingat dia akan bawa keluar 3,000 ahli, tapi cuma tiga orang iaitu dia, isteri dan anak. Sebagai ahli Pas 34 tahun, Ahli Parlimen tiga penggal, pernah jadi Naib Presiden Pas, mampu bawa keluar tiga orang? Malulah.
Sejauh mana tindakan Mahfuz memberi kesan kepada Pas?
Mahfuz ini duduk dalam parti pun tak menjejaskan, dia keluar pun kita tak terjejas, bak kata pepatah tak ada, tak mengurang, kalau ada pun tak menambah. Saya terkejut kerana dia baru nak keluar Pas, tindak-tanduk dia sebelum ini seolah-olah dia bukan ahli Pas, sebab itu saya setuju pandangan seorang rakan, Mahfuz seorang yang sesat politik.
Dia duduk dalam parti lain, dia bercakap di pihak parti lain, dia serbu ahli parti dia, dia sokong parti lain. Macam sesat. Kita tidak ada perasaan apa-apa bila Mahfuz keluar. Dia ahli Pas biasa. Dia isytihar keluar ketika dia jadi ahli biasa, bukan sebagai pemimpin.
Cuma saya nak ingatkan dia, tiga kali dia menang PRU, semuanya kerana Pas, kerana Pas calonkan dia. Kerana orang Pas kerja menangkan dia, pengundi Pas pilih dia. Dia menang pada 1999, 2008, 2013 dan kekal dalam sejarah kerana Pas.
Komen Datuk terhadap tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerang dan menyalahkan Pas serta Amanat Hadi.
Serangan Dr. Mahathir terhadap Pas ini bagi kita, adalah biasa, kalau dia puji Pas, baru luar biasa. Dr. Mahathir ini tidak pernah tidak serang Pas walaupun setelah PPBM ditubuhkan. Beliau juga terkenal sebagai individu yang terlalu anti kepada orang agama termasuk terbaharu menyalahkan mufti insiden Memali 1985.
Dalam beberapa siri rundingan Pas dengan PPBM sebelum ini, kita nyatakan tidak akan bekerjasama selagi PPBM bersama Pakatan Harapan. Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Presiden sendiri hadir dalam rundingan itu.
Bagaimanapun, semua keputusan yang dibuat PPBM masih tertakluk sepenuhnya kepada Pengerusinya, Dr. Mahathir. Itulah hakikat dalaman PPBM yang sebenar. Kegagalan kerjasama Pas dan PPBM, salah satu punca utama ialah Dr. Mahathir.
Dalam isu Memali 1985, Dr. Mahathir menyalahkan golongan mufti sehinga menggelar mereka kafir. Apa pandangan Datuk?
Dalam isu Memali, dia salahkan mufti, kalau tanya semua orang, bukan sahaja Pas, tapi semua orang akan kata benda sama. ‘Apa punya kenyataan dia buat ini?’
Sebenarnya Amanat Hadi itu bukan amanat tetapi disebut begitu (sahaja). Ia satu kandungan ceramah. Beliau (Abdul Hadi) sendiri sudah beri kenyataan, beliau punya ceramah 1 jam 40 minit, tapi dipetik 10 baris sahaja. Adakah logik semua itu? Sudah tentu dia akan lari dari konteks sebenar. Beliau ada tulis buku juga mengenai Amanat Hadi dan beri penjelasan di situ.