Selasa, 23 Januari 2018

Kem Paloh: DAP mahu jaminan bertulis Menteri Pertahanan

DETIK DAILY


Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein digesa memberi jaminan bertulis bagi memastikan tidak akan ada pengundi tentera baharu yang didaftarkan di Kem Paloh.

Meskipun Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada 17 Januari 2018 lalu telah menafikan kemasukan senarai nama pengundi tentera atau membuka lokaliti baru di Kem Paloh dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku keempat tahun 2017, disana masih ada kemungkinan senarai nama tersebut ‘dituntut’ masuk sepertimana yang berlaku keatas 2,193 nama pemilih yang dimasukkan di negeri Johor setelah gagal dimasukkan dalam RDPT suku pertama tahun 2017.

Pengarah Jentera Pilihan Raya DAP bagi N30 Dun Paloh Sheikh Omar Ali menuntut jaminan Menteri Pertahanan bahawa tidak akan ada pengundi tentera baru yang didaftarkan di Kem Paloh termasuklah menerusi ‘tuntutan’ itu.
“Apa jaminan Hisham bahawa isu kewujudan pengundi tentera sepertimana di ‘kem belum siap’ Segamat tidak akan berulang di kem Paloh?

“Jika Hisham anak jantan, beliau harus berani tampil dan kemukakan jawapan. Saya cabar agar beliau selaku Menteri Pertahanan berikan jaminan bertulis bahawa tidak akan ada tentera yang diperalatkan oleh BN menerusi SPR untuk dipindah masuk sesuka hati ke ‘kem belum siap’ Paloh,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Umno Bahagian Sembrong  pada Jumaat, terhadap Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berhubung kenyataan didakwa fitnah berkaitan berlaku kemasukan anggota tentera di kawasan parlimenSembrong.

Laporan tersebut dibuat oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Abd. Ghani Abd.
Rashid Ketua Pemuda Umno Bahagian Sembrong, Onn Hafiz Ghazi serta lebih 100 ahli Umno MCA dan MIC bahagian itu.

Kata Sheikh Omar lagi, beliau kagum dengan kegigihan Umno-BN Sembrong yang bersungguh-sungguh membuat penafian terhadap isu kemungkinan pemindahan pengundi tentera ke ‘kem belum siap’ Paloh itu.

“Nampaknya, Ketua Bahagian Umno merangkap Ahli Parlimen Sembrong dan Menteri Pertahanan sahaja yang takut hendak bersuara mengenai hal ini sepertimana yang telah saya bangkitkan minggu lalu.

“Saya memberi amaran sekali lagi. Jangan menyusahkan anggota tentera kita. Mereka telah berjuang dan berkorban sepenuh jiwa untuk menjaga keselamatan serta kedaulatan negara. Jangan mempergunakan mereka untuk survival politik korup BN,” tegasnya.

Sheik Omar dalam kenyataannya pada 17 Januari lalu berkata, kemenangan yang diraih oleh calon MCA Teoh Yap Kun dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dengan majoriti 103 undi adalah suatu kedudukan yang merbahaya. N30 Paloh merupakan kerusi dalam senarai hitam BN menjelang pilihanraya ke-14 nanti.

Beliau yakin Hishamuddin selaku Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Pertahanan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan merealisasikan projek pemindahan pengundi tentera ini, dakwanya, sebagai taktik kotor bagi memastikan survival kemenangan BN khususnya di Dun Paloh serta Parlimen Sembrong dapat dicapai. 

Tiada ulasan: