Jumaat, 19 Januari 2018

Lapor SPRM isu HSBE dan projek air masyarakat

HARAKAHDAILY

ALOR SETAR: PAS Negeri Kedah mengesyaki wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa berhubung isu pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang (HSBE) dan projek bekalan air masyarakat di Mukim Sok, Sik.
 
Sehubungan itu, dua laporan dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman di Ibu Pejabat Suruhanjaya Penegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
 
Mereka menggesa siasatan dilakukan terhadap seluruh kelulusan, aktiviti penebangan balak serta pembangunan projek ladang hutan Albizia dan Timber Latex Clone di Bukit Enggang yang banyak terdapat keraguan berkaitan.
 
Bersama dokumen yang disertakan sebagai pembuktian, ketara terdapat kesengajaan pelanggaran prosedur, ketidaktelusan, pecah amanah dan penyelewengan dilakukan.
 
Begitu juga dalam projek air tersebut, kos dari peruntukan diluluskan tidak seiring dengan pelaksanaan kerja-kerja berkaitan, selain tidak munasabah secara bandingan projek seumpama.
 
PAS Kedah dan PAS Sik sebelum ini telah menghantar memorandum berkaitan kepada Kerajaan Negeri Kedah, namun dijawab secara sambil lewa dan membalikkan tuduhan kepada pihak lain.
 
Malah, keadaan di Hutan Simpan yang terkenal dengan panggilan Srengenge itu semakin teruk hingga turut menjejaskan bekalan air kegunaan harian penduduk kampung sekitar itu. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: