PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengenal pasti
lebih 5,000 syarikat terbabit dalam penipuan pungutan dan tuntutan balik
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak ia dilaksanakan pada 1 April
2015.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, JKDM juga
telah membuka kertas siasatan terhadap semua syarikat terbabit dengan
sebahagiannya telah didakwa di mahkamah.
"Mereka ini yang ‘hardcore' (tegar), bukan kurang faham mengenai GST
kerana yang itu (tidak faham) kita tidak bawa ke mahkamah. Syarikat
(hardcore) ini yang telah memungut GST, tidak bayar dan menipu," katanya
kepada pemberita selepas acara Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia (KAK1M),
di sini Sabtu.
Katanya, JKDM akan terus mendidik syarikat yang telah mendaftar GST
melalui strategi mesra pelanggan iaitu 'pematuhan melalui pendidikan'
berbanding penguatkuasaan serta tindakan penghukuman.
"Untuk mengurangkan isu penipuan ini, kita turut memperkenalkan program
Duta GST. Pada awal pelaksanaan banyak syarikat yang kurang faham,
sebab itulah kita ambil pendekatan lebih mesra," katanya.
Subromaniam berkata, setakat 31 Disember 2017, sebanyak 465,000 telah mendaftar GST, melebihi sasaran awal 200,000 syarikat.
Ditanya sasaran kutipan GST pada tahun ini, beliau berkata, JKDM
menetapkan sasaran RM43 bilion, meningkat sebanyak RM1 bilion berbanding
2017.
"Bagaimanapun, kami percaya kami boleh mencapai lebih daripada itu.
Tahun lepas kita telah mencapai sasaran ditetapkan kerajaan RM42 bilion
dan angka sebenar akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak pada 24 Januari ini," katanya.
Berhubung KAK1M, Subromaniam berkata, acara itu yang diadakan di
seluruh negara secara serentak bertujuan mempromosikan amalan gaya hidup
sihat dan memberi peluang kepada masyarakat berinteraksi dengan pihak
JKDM.
Pada program itu, JKDM turut menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada
Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) hasil kutipan dana pada program
itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan