Ahad, 21 Januari 2018

Lelaki maut selepas rempuh belakang treler

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SLIM RIVER: Seorang juruvideo yang juga penerbit sambilan maut apabila kenderaan yang dipandunya merempuh belakang treler di Kilometer 90, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh arah utara, dekat sini, tengah malam tadi.
 
Ketika nahas jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, B Subramaniam, 44, dipercayai dalam perjalanan pulang dari pekan Slim River ke rumahnya di FELDA Trolak Utara.
 
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian, pemandu treler berumur 49 tahun yang dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Ipoh, memberhentikan kenderaan di lorong kanan jalan akibat rosak, kira-kira jam 7 malam.
 
Katanya, pemandu berkenaan memasang kon dan lampu kecemasan di belakang treler sebelum sebuah trak tunda datang untuk menunda kenderaan itu ke bengkel berdekatan.
 
"Ketika memasang alat untuk menunda treler, tiba-tiba datang sebuah van yang dipandu mangsa melanggar kon yang diletakkan sepanjang jalan lalu merempuh belakang kenderaan berat itu.
 
"Pemandu treler yang ketika itu berada di belakang kenderaannya sempat mengelak dan lari menyelamatkan diri manakala mangsa tersepit akibat pelanggaran dan maut di tempat kejadian," katanya dilapor BH Online.
 
Wan Kamarul Azran berkata, semua pekerja trak tunda tidak cedera dan mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
 
 

Tiada ulasan: