Sabtu, 20 Januari 2018

Mat Sabu: Pembahagian kerusi PH di Sarawak selesai

DETIK DAILY

 
 
KUALA LUMPUR: Pembahagian kerusi parlimen Sarawak dalam Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP, Amanah dan PKR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selesai sepenuhnya, kata Presiden Amanah yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata setakat ini, proses pembahagian kerusi di Sabah masih lagi dalam peringkat rundingan.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan jumlah pengagihan kerusi diperuntukkan bagi setiap parti terlibat.

Majlis Presiden pakatan itu dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pembahagian kerusi tersebut sebelum pilihan raya umum berlangsung.

Pada PRU13, DAP menang 5 daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak iaitu di Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang dan Sibu manakala PKR menang di Miri.

Pilihan raya umum lepas juga menyaksikan pembangkang menang 3 daripada 25 kerusi di Sabah, dengan DAP menguasai kerusi Kota Kinabalu dan Sandakan manakala PKR di Penampang.

Konvensyen PH pada 7 Januari lalu mengumumkan pengagihan kerusi parlimen untuk ditandingi parti komponen itu di Semenanjung Malaysia selesai, dengan PPBM akan bertanding 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27). Keseluruhannya 165 kerusi. 
 
 

Tiada ulasan: