Ahad, 21 Januari 2018

Meskipun Kurang 6 Kerusi, Amanah Johor Puas Hati

 
 


Meskipun kurang enam kerusi sebagaimana yang dituntut, Amanah Johor sudah berpuas hati apabila parti itu diperuntukkan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi di Johor.

Dalam pembahagian kerusi DUN Pakatan Harapan (PH) Johor itu, PPBM dilaporkan mendapat kerusi paling banyak, 18 kerusi; DAP (14), Amanah (12) dan PKR (12).

Pengarah Pilihan Raya PH Johor, Salahuddin Ayub turut mengesahkan pembahagian kerusi DUN di Johor sudah selesai dan Amanah berpuas hati dengan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada parti mereka.

“Saya rasa kerusi DUN yang telah diputuskan oleh PH amat memuaskan untuk Amanah.

“Kita akan umumkan dalam masa terdekat iaitu di Konvensyen PH Johor. Kita akan umum jumlah kerusi DUN yang diterima parti-parti dalam PH dan calon-calon bertanding sekali,”katanya dilapor FMT.


Bagaimanapun daripada 12 kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah, tiga kerusi DUN itu dimenangi PAS pada PRU 13, termasuk DUN Parit Yani yang dimenangi atas tiket PAS, namun ADUN berkenaan Aminolhuda Hassan melompat parti kepada Amanah selepas parti baharu itu ditubuhkan pada 2015.

Dua kerusi DUN milik PAS yang akan ditandingi Amanah adalah DUN Maharani dan Sg Abong.
Manakala sembilan kerusi lagi yang diperuntukkan kepada Amanah dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada PRU 13.

Berbeza dengan DAP, daripada 14 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada parti itu, 13 kerusi DUN sudah dimenangi DAP pada PRU 13, kecuali DUN Paloh yang dimenangi BN sebelum ini.

Dalam percaturan pembahagian kerusi PH Johor itu, DAP mendapat kedudukan paling selesa dengan 13 kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU 13, berbanding dengan PPBM, walaupun parti serpihan itu diperuntukkan kerusi paling banyak.

PKR juga hanya memenangi di satu kerusi DUN di Bukit Batu, daripada 11 kerusi lain yang diperuntukkan kepada parti itu yang kesemuanya dimenangi BN pada PRU 13.

Sebelum ini, Pemuda Amanah Johor menuntut 18 kerusi DUN, jika kurang daripada itu diberi ancaman akar umbi parti itu akan memboikot PRU 14 di peringkat negeri.



Tiada ulasan: