Jumaat, 19 Januari 2018

Ayer Hitam – Kubu atau istana pasir BN?




Oleh

Portal The Malaysian Insight semalam menerbitkan sebuah laporan bertajuk “Jika letak botol kicap pun, BN boleh menang”.

Tajuk itu dari petikan temuramah dengan orang awam. Namun ia juga menggambarkan tahap pemikiran Barisan Nasional di Ayer Hitam, setidaknya sehingga Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018. Ayer Hitam memang merupakan kerusi paling selamat MCA, lebih selamat berbanding kerusi di Bentong yang dipegang Presiden MCA Liow Tiong Lai.

Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari lalu mencapai dua keputusan utama yang tidak pernah terjadi sebelumnya dan yang tidak pernah dicapai oleh pakatan pembangkang sebelum ini, iaitu menamakan calon Perdana Menteri ketujuh, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri kelapan; selain merumuskan rundingan kerusi di Semenanjung Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum tiba.

Keputusan pengagihan kerusi memberi kejutan di Johor. Tiba-tiba, kerusi Tanjong Piai (yang diserahkan DAP kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Ayer Hitam (yang akan ditandingi Parti Amanah dengan menggunakan logo DAP) menarik perhatian. Dua kerusi MCA itu yang sebelum ini dilihat selamat untuk Barisan Nasional kini akan menjadi ‘kompetetif”.

Ayer Hitam merupakan kerusi dengan 56% pengundi Melayu, 38% pengundi Cina dan 4% pengundi India. Kerusi ini tidak pernah menjadi kerusi mudah untuk pembangkang, terutamanya di Johor di mana Barisan Nasional secara perbandingan lebih kuat berbanding di negeri lain.

Saya merupakan yang pertama yang mengaku Ayer Hitam merupakan kerusi yang sukar untuk Pakatan Harapan. Namun untuk Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, PH perlu menang setiap kerusi separa bandar yang mempunyai pengundi campuran dengan majoriti Melayu seumpamanya di pantai barat Semenanjung.

Sejak 7 Januari lalu, Ayer Hitam telah bertukar daripada “kawasan putih” kepada “kawasan kelabu” untuk BN. Sebagaimana sesetengah pihak dalam Barisan Nasional masih percaya ia merupakan kubu kuat yang boleh dimenangi dengan “botol kicap”, sesetengah yang lain mula sedar Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong sebenarnya sedang duduk dalam sebuah istana pasir yang boleh runtuh bila-bila masa.

Ahad lalu (12 Januari 2018), Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu menghadiri majlis kutipan dana di Yong Peng. Hari ini, bersama Naib Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching, Setiausaha DAP Johor Gan Peck Cheng, Bendahari DAP Johor George Poh Eng Guan, Adun Yong Peng Chew Peck Choo, Ramli Abdul Hamid (Biro Komunikasi Amanah Johor) dan Ketua Amanah Ayer Hitam mengadakan kunjungan ramah mesra di pasar basah Yong Peng di Jalan Meng Seng.

Pakatan Harapan akan buat yang terbaik bagi mengalahkan Barisan Nasional di Ayer Hitam bagi membentuk kerajaan baru di Putrajaya.

*Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen Kluang dan Pengarah Pendidikan Politik DAP


Tiada ulasan: