Khamis, 18 Januari 2018

Opotunis Politik : 40 Kerusi Penentu Penipuan Awal Terhadap Ahli PAS

DETIK DAILY

 
Oleh DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
 
1. Kenyataan terbaru Tuan Guru Presiden PAS, YB Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Rusila Jumaat lepas bahawa PAS hanya menyasarkan sekitar 40 kerusi untuk menang pada Pilihanraya Ke 14 (PRU 14) akan datang di mana 40 kerusi tersebut akan dijadikan alat 'tawar menawar' dengan mana-mana koalisi politik samada BN atau Pakatan Harapan (PH) menarik perhatian saya. 

Menurut kenyataan Presiden PAS, beliau menjangkakan samada BN atau PH tidak akan mendapat kerusi majoriti di dalam PRU 14 untuk membentuk kerajaan, maka PAS dengan '40 kerusi akan menjadi penentu' siapa yang akan menjadi kerajaan dan PAS akan memihak kepada koalisi yang akan memenuhi tuntutan dan permintaan PAS.

2. Saya ucapkan terima kasih kepada Tok Guru Presiden kerana berterus terang mengenai matlamat dan halatuju PAS menghadapi PRU 14.

Pengakuan terkini Presiden PAS membawa maksud jelas bahawa pilihan saya untuk berhenti dari PAS adalah pilihan yang tepat dan begitu juga dengan tindakan rakan-rakan saya yang berhenti dari PAS dan menubuhkan Parti AMANAH Negara dua tahun yang lalu juga merupakan ijtihad yang tepat.Melalui kenyataan tersebut,saya nampak ada beberapa indikasi penting yang terhasil.

3. Pertamanya, PAS kini sudah mengakui secara terbuka bahawa mereka bertanding pada PRU 14 bersama dengan koalusi yang disebut ‘Gagasan Sejahtera’ bukanlah atas hasrat untuk menang dan membentuk kerajaan yang pemerintahannya berteraskan Islam sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh 'penyokong-penyokong taksub PAS' selama ini di media sosial mahupun di kedai kopi .

PAS rupa-rupanya hanya sekadar berhasrat untuk menjadi ‘oportunis politik’,maka PAS dan Gagasan Sejahtera tidaklah layak dipanggil alternatif atau ‘third force’ untuk rakyat.

Secara peribadi saya agak sedih melihat parti yang lebih 34 tahun saya berjuang di dalamnya selama ini merupakan antara parti politik utama di negara ini dan alternatif kepada BN akhirnya  menurunkan mertabat dirinya sendiri kepada hanya sebuah parti pelengkap dan 'aksesori' sahaja yang tidak mempunyai sikap yang jelas dalam mendepani halatuju pemerintahan negara demi rakyat.

PAS BAKAL JUAL UNDI KEPADA KLAPTOKRAT UMNO BN

4. Keduanya, apabila Tok Guru Presiden PAS tanpa selindung mendedahkan bahawa sasaran 40 kerusi PAS tersebut sekiranya dicapai, akan dijadikan 'alat tawar menawar' dengan BN atau PH di mana koalisi yang memenuhi permintaan PAS akan disokong oleh PAS untuk menjadi kerajaan menunjukan ianya adalah satu pengakuan besar dari mulut Presiden PAS sendiri bahawa PAS bukanlah lagi sebagai sebuah parti pembangkang yang relevan untuk melawan regim UMNO/BN di bawah YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. 

PAS terbukti sekarang menjadi parti yang tidak berprinsip apabila memberi bayangan akan kesanggupaan mereka untuk menyokong BN.

5. Oleh sebab itu, jika melihat kepada rentak politik PAS mutakhir ini terutamanya Presiden yang nampak tidak bersungguh menyuara di atas segala kerosakan dan skandal yang berlaku dari tangan UMNO/BN di dalam negara bahkan semakin mesra hubungan PAS-UMNO.

Saya yakin jika ditakdirkan PAS menang 40 kerusi dan BN atau PH tidak memiliki majoriti majoriti untuk membentuk kerajaan maka PAS sudah tentu tanpa ragu akan memilih untuk menyokong BN dan menyokong Datuk Seri Najib Razak untuk terus kekal menerajui kerajaan. Pendirian PAS ini merupakan penipuan awal pimpinan PAS terhadap ahli PAS yang diajak berlawan dengan UMNO/BN dan PH pada pru14 tetapi akan sedia berunding khususnya dengan UMNO/BN selepas keputusan Pru kelak.Sudah tentu PAS tidak akan berunding dan menyokong PH untuk membentuk kerajaan baru selepas pru14.

PAS tidak bersedia dilihat 'menjilat' ludahnya kembali untuk menerima PH setelah memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP yang dianggap menentang agenda Islam PAS,menolak PPBM yang di anggap parti penyangak dan menganggap AMANAH sebagai parti pengkhianat.

Mutakhir ini banyak kenyataan pimpinan PAS menunjukan mereka lebih selesa dengan kepimpinan Najib Razak. Oleh itu, bagi saya berapa pun jumlah kerusi yang dimenangi PAS, ianya akan menjadi penambah kepada kekekuatan kerusi yang dimenangi BN.

6. Justeru, amat malang jika sekiranya rakyat Malaysia khususnya ahli PAS yang masih menyimpan harapan kepada PAS terus terpedaya dengan angan-angan kononnya PAS akan menyertai PRU 14 untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN dan tidak melihat mainan sebenar politik PAS yang semakin terserlah niatnya untuk mengekalkan kerajaan kleptopkrasi BN di bawah Dato Seri Najib.

Mengundi PAS bermakna mengizinkan PAS menjual undi pengundi kepada Klaptokrat UMNO/BN dan undi kepada PAS akan hanya membawa ketidakstabilan politik negara.

Rakyat tidak perlu membuang masa mengundi parti sebegini jika rakyat Malaysia benar-benar ingin melihat perubahan yang lebih baik kepada masa depan negara dan mengheret kerajaan UMNO/BN terutamanya Perdana Menteri untuk bertanggungjawab di atas segala kesusahan dan kerosakan yang dilakukan ke atas rakyat dan negara seperti pengenaan GST, peningkatan kos sara hidup, skandal 1MDB, FELDA dan lain-lain, maka tiada pilihan lain melainkan untuk mengundi parti-parti dari gabungan Pakatan Harapan pada PRU 14 akan datang.

7. Maafkan saya Tok Guru saya terpaksa memberi komentar kepada kenyataan Tok Guru dalam hal ini.Walaupun saya telah meninggalkan Parti tetapi saya tetap sayangkan ahli ahli Pas.Mereka telah banyak berkorban dan akan terus diminta berkorban untuk Parti Pas.Saya tak sanggup melihat mereka terus di perdaya dan akhirnya undi mereka di jual pada Klaptokrat Najib dan Umno Bn selepas Pru14.Saya mohon maaf Tok Guru Jangan jual mereka Tok Guru.

" Usah perangkap rakyat ".

#TolakUmnoBnPas
#UndiPakatanHarapan
#SelamatkanMalaysia
#BinaSemulaNegaraTercinta
#RakyatHakimNegara
 
DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
 
 

Tiada ulasan: