Ahad, 21 Januari 2018

PH Sabah bergelut agih kerusi sebelum lawatan Muhyiddin

 
Pengerusi PH Sabah, Christina Liew berkata, pembahagian kerusi PH tidak mudah kerana ada parti mahu bertanding jumlah kerusi tertentu dan ada pula hendak meletakkan calon di semua kawasan.


Christina-Liew-Muhyiddin-was-visiting-sabah-malaysia

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu memuktamadkan pembahagian kerusi di kalangan gabungan pembangkang itu sebelum memulakan rundingan dengan Parti Warisan Sabah berhubung kemungkinan formula perkongsian kerusi untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

PKR, DAP dan Amanah cuba mencapai kata sepakat antara mereka menjelang lawatan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabah pada 23 Januari ini.

Pengerusi PH Sabah, Christina Liew berkata, lawatan Muhyiddin itu bertujuan meninjau persiapan pakatan pembangkang itu untuk PRU14.

“Pembahagian kerusi di kalangan kami sendiri belum dimuktamadkan,” kata pengerusi PKR Sabah dan adun Api-api itu.

“Kami perlu mencapai kata sepakat sesama sendiri sebelum boleh berunding dengan orang lain.
“Tidak mudah apabila sesetengah parti bertegas mahu bertanding jumlah kerusi tertentu, manakala parti lain mahu meletakkan calon di semua kawasan.”

Liew berkata, perkara terbaik mereka boleh harapkan ialah mengurangkan jumlah pertandingan pelbagai penjuru di 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN di negeri itu.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku antara sekarang dan menjelang hari pencalonan,” katanya pada sidang media hari ini.

DAP berhasrat bertanding di 5 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN, manakala PKR serta Amanah pula tidak menyuarakan kerusi mana yang hendak ditandingi mereka.

Pemimpin PKR Sabah sebelum ini berkata, permulaan rundingan mereka ialah bertanding di semua kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU 2013 yang terdiri daripada kerusi Parlimen Penampang dan 7 kerusi DUN.

Liew enggan mengulas lanjut mengenai rundingan itu, difahamkan ia turut memfokuskan Warisan.
Katanya, memuktamadkan perjanjian perkongsian kerusi penting untuk pembangkang bagi mencapai kemajuan di negeri itu.

“Rakyat Sabah mahukan perubahan dan mereka akan mengundi parti yang boleh mempengaruhi perubahan itu, iaitu Pakatan.”

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, beliau sedia bekerjasama dengan PH, tetapi bukan Gabungan Sabah merangkumi Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Maju Sabah, Parti Solidariti Tanah Air (Star) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah.

Tiada ulasan: