Ahad, 21 Januari 2018

PH yakin mampu rampas Pulai, Bakri dengan pengaruh Dr M, Muhyiddin

 
Salahuddin Ayub berkata, selain pengaruh 2 pemimpin pembangkang itu, PH boleh menang di kerusi Parlimen Pulai dan Bakri berdasarkan sokongan rakyat serta persefahaman di kalangan 4 parti pembangkang itu.


Salahuddin-Ayub-ph

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Johor yakin dapat merampas kerusi Parlimen Pulai daripada Barisan Nasional (BN) berdasarkan pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya PH Johor, Salahuddin Ayub yang sedia bertanding di kerusi itu buat kali ke-2 pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berkata, selain pengaruh 2 pemimpin pembangkang itu, PH berpeluang menang di Pulai berdasarkan majoriti kecil diperoleh BN pada 2013.

“Atas persetujuan PH, saya rasa tidak ada apa-apa masalah untuk terus bertanding di Pulai,” katanya kepada FMT.

“Kita sudah ada apa kita dapat pada PRU13 dan dengan faktor Dr Mahathir dan Muhyiddin sebagai tokoh yang dikenali di Johor dan telah muktamadkan perundingan kerusi secara harmoni, kita yakin boleh menang.

“Umno hari ini hadapi masalah besar seperti isu rakyat iaitu kenaikan harga barang, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta 1MDB. Saya yakin kita lebih mudah atur strategi kemenangan pada kali ini atas isu-isu yang berlaku itu.”

Pada PRU13, penyandang kerusi Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendapat 43,751 undi menewaskan Salahuddin yang bertanding atas tiket PAS dengan 40,525 undi.

Pada 2008, Nur Jazlan memperoleh 38,036 undi mengalahkan calon PAS, Abdullah Ideris yang meraih 17,587 undi pada PRU12.

Majoriti diperolehi BN berkurangan daripada 34,926 undi pada PRU11 kepada 20,449 undi pada PRU12 dan 3,226 undi pada PRU13. Pulai mempunyai 47% pengundi Melayu, 41% Cina dan 10% India.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga timbalan pengerusi Amanah berkata, beliau sedia menghadapi pertandingan 3 penjuru di Pulai.

“Pulai saya rasa tidak ada masalah sebab semua perhitungan telah buat pada awal lagi sebab sejak tubuhkan Amanah, kita sudah sedia 3 penjuru ini beberapa tahun lepas, kita tidak ada masalah,” katanya yang yakin PH mampu merampas Johor daripada BN berdasarkan persefahaman dan perpaduan di kalangan 4 parti pembangkang itu.

Amanah Johor hanya diperuntukkan 2 kerusi Parlimen di Johor, iaitu Parit Sulong dan Pulai. Ia merupakan antara 27 kerusi Parlimen diberikan kepada Amanah di Semenanjung Malaysia, berbanding PPBM yang mendapat 52 kerusi, PKR (51 kerusi) dan DAP (35 kerusi).

Susulan itu, Amanah Johor memboikot Konvensyen PH pada 7 Januari lalu kerana tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi itu.

Kerusi Parlimen Bakri


Er Teck Hwa yakin akan dicalonkan semula dan mempertahankan Bakri untuk kali ke-3.

Penyandang kerusi Bakri selama 2 penggal itu berkata, DAP boleh mendapat majoriti lebih besar berbanding PRU13 berdasarkan sokongan masyarakat setempat.

“Setiap tahun bila musim perayaan Melayu, Cina dan India, saya akan membuat sambutan mendekati semua kaum di Bakri.

“Saya juga turun padang ke kedai-kedai kopi bagi mengetahui masalah dihadapi rakyat di Bakri,” katanya.

Pada PRU12, beliau menewaskan calon BN, Tay Puay Chuan dengan majoriti 5,067 undi sebelum meneruskan kemenangan pada PRU13 dengan majoriti 5,067 undi selepas mengalahkan calon BN, Lee Ching Yong.

Tiada ulasan: