LABUAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan
Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030, sebuah pelan pembangunan hala
tuju ekonomi pulau bebas cukai Labuan.
Ia menggariskan kepada tiga fokus utama iaitu pembangunan ekonomi,
sosial dan fizikal dalam usaha untuk metransformasikan landskap ekonomi
secara total pulau bebas cukai berkenaan.
Najib berkata pelan pembangunan yang menggariskan pelbagai projek
pembangunan meliputi pembangunan persisiran pantai sehinggalah
pembangunan fizikal kawasan bandar itu akan melihat kepada perubahan
ekonomi Labuan.
“Usaha untuk mempelbagaikan sumber ekonomi pulau ini perlulah
direncanakan, kalau tidak, Labuan tidak mungkin dapat mara ke hadapan
setanding dengan tempat-tempat lain.
“Kita berhutang kepada warga Labuan ini, kerana antaranya, Labuan
merupakan kubu kuat kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya pada
pelancaran Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 itu yang dihadiri
lebih 15 ribu warga Labuan.
Katanya antara projek berimpak tinggi yang dimasukkan dalam rangka
tindakan pembangunan itu adalah cadangan pembinaan jambatan yang
menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah melalui Menumbok.
“Walaupun ada orang kata, kalau kita lihat dari segi kos pembinaannya
mungkin tidak begitu berdaya maju, tetapi kerajaan tidak melihat kepada
kadar pulangan sahaja, tetapi kita mahu melihat pembangunan secara
keseluruhannya, kerana kita tidak boleh menganggarkan jumlah sesuatu,”
katanya.
Najib berkata sekiranya jambatan ini menjadi pemangkin kepada perubahan
pembangunan ekonomi Labuan, kerajaan persekutuan tidak melihat halangan
untuk meluluskan pembinaannya.
“Sekiranya jambatan ini boleh merancakkan kegiatan ekonomi, membolehkan
penduduk mempunyai akses mudah ke tanah besar Sabah dan begitu juga
dari tanah besar mudah ke pulau ini, dan jambatan ini boleh menggalakkan
pelaburan, maka berbaloilah kita membina jambatan ini,” katanya.
Beliau berkata sebaik sahaja Kajian Kebolehlaksanaan Tekno-Ekonomi
cadangan pembinaan jambatan itu siap, dan kerajaan BN terus memerintah
selepas Pilihan raya Umum Ke-14, adalah tidak mustahil jambatan
berkenaan diteruskan pembinaannya.
“Mudah-mudahan keputusan pada hari tertentu (PRU14) nanti, merupakan
keputusan yang menyebelahi kerajaan yang ada pada hari ini, Insya-Allah
kita semua akan kembali di sini untuk melancarkan pembinaan jambatan
Labuan yang sememangnya dekat di hati warga Labuan,” katanya.
Najib berkata adalah menjadi harapan beliau rangka tindakan pembangunan
Labuan itu akan mengenal pasti projek-projek yang boleh menyumbang
kepada kadar pertumbuhan pulau ini dan memberi keselesaan rakyat Labuan.
“Saya difahamkan akan ada taman tema di Tg Purun dan pembangunan semula
berhadapan pantai yang menyaksikan kepada pembangunan ‘Esplanade
Labuan’.
“Selain itu, saya juga difahamkan akan ada pembinaan kedai-kedai yang
menjual barang berjenama antarabangsa yang kita yakin akan menggalakkan
sektor pelancongan,” katanya.
Najib berkata pelancaran pelan pembangunan itu merupakan hari penuh
bermakna buat warga Labuan, ia merupakan satu pencetus perubahan dalam
lipatan sejarah pembangunan Labuan dan menjadi manifesto untuk
pembangunan Labuan.
Katanya kerajaan persekutuan sentiasa komited dan akan melakukan
sesuatu intervensi dengan iltizam politik untuk melaksanakan gagasan
baru untuk Labuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan