Selasa, 23 Januari 2018

Saari Sungib dakwa tindakannya keluar PAS keputusan tepat

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Saari Sungib berkata tindakannya keluar daripada PAS pada 2015 dan menyertai Amanah adalah tepat. 
 
ADUN Hulu Kelang itu kemudiannya mendakwa PAS kini dalam keadaan lemah sejak berada di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Jika dilihat sejak akhir-akhir ini beliau (Abdul Hadi) begitu agresif mengeluarkan kenyataan untuk menyerang pemimpin Pakatan Harapan.
 
"Adakah beliau dalam keadaan tertekan? Saya rasakan betul (tertekan) kerana beliau diasak dengan pelbagai persoalan bukan sahaja daripada pihak luar, tetapi dalam kalangan ahlinya sendiri," katanya dipetik Berita Harian Online.
 
Saari dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin adalah antara pemimpin PAS Selangor yang keluar parti tidak lama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang kemudian menyertai Amanah selepas ia ditubuhkan.
 
Mengenai kenyataan Abdul Hadi bahawa Amanah adalah parti 'nyamuk', Saari berkata, sebagai seorang individu yang membawa imej ulama, Ahli Parlimen Marang itu tidak sepatutnya melabelkan sesuatu benda dengan haiwan.
 
"Beginikah sikap seorang ulama besar? Patutkah menggelarkan pihak lain dengan haiwan? Perbezaan pendapat antara parti politik adalah biasa, tetap jangan kata begitu.
 
"Dahulu semasa saya dalam PAS, beliau selalu berdakwah meminta ahli menjaga perilaku, namun sebaliknya berlaku. Sebab itu saya katakan keputusan tinggalkan PAS adalah tepat," katanya.
 
Ahad lalu, Abdul Hadi ketika merasmikan jentera pilihan raya PAS Selangor berkata, parti itu berhasrat untuk membentuk kerajaan sendiri atau menyertai pembentukan kerajaan baharu selepas PRU14.
 
Beliau sifatkan Selangor antara negeri utama untuk PAS menang besar pada PRU14, sekali gus menafikan kemenangan Amanah yang dianggap Abdul Hadi sebagai parti 'nyamuk'.
 
 

Tiada ulasan: