Sabtu, 20 Januari 2018

Skandal Terowong P.Pinang: Ada Ahli Politik ‘Masyuk’



Agensi/Mynewshub
Skandal Terowong P.Pinang: Ada Ahli Politik 'Masyuk'

MAKAN BESAR… Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati ada ahli politik dipercayai menerima habuan jutaan ringgit, dalam kajian projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

 

Sumber berkata, beberapa individu penting yang dipercayai terbabit dalam projek prasarana mega bernilai RM6.3 bilion itu, akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak SPRM dalam tempoh terdekat.

“Ada beberapa ahli politik yang menerima ratusan ribu ringgit, malah ada yang disyaki mencecah jutaan ringgit disebabkan ‘jalinan kerjasama’ itu. Setakat ini kita sedang mengesan, bagaimana salah laku itu berlaku.

“Kita hendak tahu bagaimana pembayaran dibuat. Namun, kita percaya, ia kemungkinan berkaitan pemberian dua lot tanah bernilai tinggi, yang menjadi cara untuk pembayaran kepada kajian projek mega itu,” kata sumber.

Bagaimanapun, sumber tersebut enggan mendedahkan siapa ahli politik yang dipercayai terbabit menerima habuan itu tetapi tidak menolak kemungkinan mereka itu adalah individu yang berkepentingan dalam projek berkenaan.

Akhbar tempatan semalam melaporkan, pihak SPRM memperoleh beberapa maklumat baharu, namun tidak dapat didedahkan kerana bimbang ia mampu menjejaskan proses siasatan terperinci yang sedang berjalan.

Sebelum ini, pakar mendedahkan kos kajian kebolehlaksanaan terowong dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang itu dipercayai bernilai hingga RM80 juta, berbanding RM305 juta dibayar melalui pertukaran tanah di negeri itu.

Baca: Kisah Lucu Syarikat Fesyen Bina Terowong Dasar Laut

 



Dalam perkembangan yang berkaitan, sumber tersebut berkata, pihak SPRM kini dalam proses untuk merekodkan segala keterangan daripada beberapa saksi penting untuk mengukuhkan lagi kertas siasatan.

Katanya, beberapa individu penting yang dipercayai terbabit dalam projek mewah tersebut juga akan dipanggil untuk memberikan keterangan kepada SPRM dalam tempoh terdekat.

“Saksi yang akan direkod ini mampu jawab bagaimana salah laku dan pembayaran itu berlaku,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun ujar beliau, setakat ini SPRM sudah pergi sekurang-kurangnya 42 lokasi, membabitkan pelbagai syarikat perunding serta beberapa agensi kerajaan di Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Malahan jelas Azam lagi, lebih 76 saksi sudah pun dipanggil untuk memberi keterangan mereka bagi membantu siasatan SPRM yang giat dijalankan terhadap projek raksasa kontroversi berkenaan.

Setakat ini, hanya dua individu bergelar datuk, ditahan bagi membantu siasatan itu dan masing-masing sudah dibebaskan dengan jaminan pihak mahkamah semalam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Tiada ulasan: