Sabtu, 20 Januari 2018

Syahredzan: Jangan boikot, tapi undi merit calon

DETIK DAILY


PETALING JAYA: Peguam Syahredzan Johan menggesa mereka yang tidak dapat membuat keputusan antara Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) dan calon-calon perdana menteri masing-masing supaya mengundi berdasarkan merit calon bertanding.

Syahredzan berkata mereka yang berasa kecewa dengan situasi politik sekarang ini tidak patut mengundi atas dasar memilih antara Datuk Seri Najib Razak atau Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, beliau menyarankan mereka supaya melihat calon-calon yang bertanding di kerusi Parlimen dan DUN.

“Dengarlah apa yang mereka cuba sampaikan, dan buat keputusan berdasarkan calon-calon itu, bukannya sebagai undi proksi untuk siapa yang akan perintah Malaysia.

“Tidak mengundi atau boikot, atau merosakkan undi, semua itu sebahagian daripada demokrasi. Kamu berhak melakukannya.

“Tetapi untuk mengatakan kamu boikot kerana tidak pilihan diberikan kepada kamu, bagi saya tidak berasas kerana ada banyak pilihan, ada banyak lapisan pada pilihan-pilihan itu dan banyak strategi yang boleh kamu gunakan melalui pilihan-pilihan itu, yang akhirnya bermakna tidak mengundi itu sepatutnya menjadi langkah terakhir,” katanya di Facebook hari ini.

Syahredzan menjawab laporan tentang kekecewaan golongan muda akan keadaan politik negara dan berhasrat untuk memboikot Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perkembangan itu menyebabkan bekas pengerusi gerakan pemantau pilihan raya Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, merayu golongan muda mempertimbangkan keputusan itu dan “mengundi demi mereka yang mahukan perubahan”.

Syahredzan berkata mereka yang tidak menyukai pilihan raya ditawarkan boleh mengundi BN atau PH di peringkat negeri dan parti lain di peringkat Parlimen.

“Kamu tak suka Najib atau Mahathir? Baiklah, jangan undi BN atau PH. Undilah PSM atau PAS atau calon-calon bebas lain. Parlimen belum dibubarkan, jadi bagaimana kamu tahu siapa yang akan bertanding di mana kamu akan mengundi nanti?

“Jadi kamu tidak mahu undi kamu untuk PH atau BN menjadi undi proksi untuk Najib atau Mahathir? Undilah parti lain di peringkat persekutuan, dan kamu masih boleh pilih PH atau BN di peringkat negeri. Najib dan Mahathir bukan calon menteri besar atau ketua menteri di negeri kamu,” katanya.

Syahredzan berkata proses legislatif ialah proses yang penting untuk melaksanakan reformasi institusi atau mengubah undang-undang.

“Jika kamu mahu betulkan sistem yang rosak, ia mesti dilakukan melalui proses legislatif. Ia mesti melalui Parlimen.

“Sistem kita ialah demokrasi berperwakilan. Kamu mahu demokrasi langsung? Kamu perlu ubah sistem. Bagaimana ubah sistem? Melalui proses legislatif.

“Jadi, kalau kita tidak peduli siapa yang mewakili kita dalam proses legislatif, bagaimana nak mula membetulkan kerosakan dalam negara kita?

“Kalau kita boikot pilihan raya dan kita diwakili oleh seseorang yang tidak pedulikan pendirian kamu, apa yang boleh kita lakukan tentang undang-undang dan institusi? 

Tiada ulasan: