Ahad, 21 Januari 2018

Terowong dasar laut: SPRM perlu percepat proses siasatan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BUKIT MERTAJAM: Umno Permatang Pauh menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera menyiapkan siasatan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang, bagi memberi keadilan kepada semua pihak, termasuk media yang melaporkan perkembangan kes berkenaan.
 
Ketua UMNO Bahagiannya Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menyalahkan pihak media yang kononnya memberi laporan tidak betul serta mensensasikan isu terbabit bagi menampakkan kerajaan negeri pimpinannya bersalah.
 
Beliau berkata, apa yang dilaporkan pihak media mengenai isu terbabit sebenarnya adalah melalui kenyataan yang diberikan Setiausaha Agung DAP itu sendiri serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
 
"Bagi saya jika berada di pihak yang benar, maka beliau tidak perlu berasa bersalah dan memberi kerjasama terhadap siasatan ini, namun kita hairan apabila Guan Eng berterusan menyalahkan pihak lain, antaranya SPRM dan media.
 
"Apa yang sering diutarakannya adalah mengatakan bahawa laporan media tidak betul, media sering mensensasikan isu dan tidak tahu fakta sebenar sedangkan apa yang dilaporkan berdasarkan daripada kenyataan beliau serta barisan EXCO pimpinannya sendiri," katanya dilapor BH Online.
 
Mohd Zaidi berkata demikian selepas diminta mengulas berkenaan tekanan yang diberikan kerajaan negeri kepada SPRM dan petugas media yang melaporkan perkembangan siasatan mengenai isu projek terowong dasar laut itu di Bandar Perda, di sini, hari ini.
 
Jelasnya, siasatan SPRM dapat membantu menyelesaikan persengketaan terbabit dan membuktikan kebenaran siapa yang bersalah.
 
"Hasil siasatan ini kita akan lihat siapa yang berbohong samaada media yang lapor tidak benar atau kerajaan negeri sendiri yang sering beri kenyataan tidak benar berkenaan isu yang sedang hangat berlaku di negeri ini," katanya.
 
Projek prasarana mega bernilai RM6.3 bilion itu mendapat perhatian ramai sejurus SPRM menahan dua individu berpangkat Datuk dan memanggil lebih 76 saksi hingga ia menjadi paparan utama media sejak dua minggu lalu.
 
Isu itu mengundang pelbagai perspektif hingga memberi tekanan kepada pihak media yang melaporkan perkara yang berlaku apabila sering diancam bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
 
 

Tiada ulasan: