Khamis, 19 April 2018

Amanah: Pengarah pilihan raya keluar parti tak beri masalah besar

 
FMT difahamkan pelantikan pengarah baharu akan dilakukan 21 April ini.





PETALING JAYA: Tindakan Jaafar Samsudin meletakkan jawatan pengarah pilihan raya negeri dan mengumumkan keluar parti tidak beri masalah besar kepada Amanah Selangor, kata Pengerusi Izham Hashim.

Beliau berkata parti berfungsi seperti biasa dan FMT difahamkan pelantikan pengarah baharu akan dilakukan 21 April ini.

“Amanah Selangor tidak ada masalah untuk terima hakikat mana-mana pemimpin dan ahli-ahlinya yang ingin meninggalkan parti,” katanya.

Media hari ini melaporkan Jaafar meletakkan jawatan kerana terkilan parti mengetepikan gesaan “akar umbi” yang mahu anak tempatan di letakkan di Parlimen Kota Raja.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dikatakan akan diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan di situ.

Izham berkata ketiadakpuasan hati dalam isu pemilihan “perkara biasa”.

“Isu calon dan sebagainya yang berkaitan ditentukan melalui proses ketat dan melibatkan pimpinan kawasan, negeri dan nasional bukannya ditentukan seseorang pemimpin,” katanya.

Jaafar dalam suratnya kepada parti memberitahu alasannya meletakkan jawatan disebabkan ingin memberi tumpuan kepada keluarga.

Jaafar menyertai PAS pada 1998 dan memegang jawatan pengarah pilihanraya PAS Selangor dari 2002 hingga 2015, beliau kemudian meninggalkan parti Islam itu pada 2016 untuk menyertai Amanah.

Antara nama disebut akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jaafar ialah Timbalan Ketua Amanah Gombak, Yazid Alias.

“Saya sudah dimaklumkan di peringkat parti untuk bersedia,” kata Yazid.

Tiada ulasan: