Rabu, 18 April 2018

DAP MAHU KUASAI PERAK SUDAH DIJANGKA- ZAHID




Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan DAP meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi mengintai kerusi Menteri Besar sekiranya menguasai pentadbiran negeri itu, sudah dijangka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, DAP menyedari penolakan orang Melayu terhadap parti cauvinis itu dan langkah meletakkan calon Melayu adalah untuk menarik undi orang Melayu.

“Kita telah menelaah dan menjangka dari awal apabila mereka (DAP) tidak menggunakan lambang parti sendiri, sebaliknya guna lambang parti lain.

“Telahan ini benar dan ia bertujuan untuk menarik pengundi Melayu menyokong calon mereka.

“Tentunya dengan meletakkan seorang pakar undang-undang (daripada DAP) tetapi bertanding menggunakan lambang parti lain adalah pengesahan dan agenda mereka kini terserlah.

“Mangsanya adalah PPBM, PAN dan PKR sendiri kerana sudah hampir pasti kawasan ditandingi DAP yang diletakkan calon Melayu bertujuan mencari tokoh dihajati bagi mengetuai kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang pemerosesan hasil laut Sen Up Huat di Jalan Tepi Sungai, dekat Hutan Melintang pada Rabu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata demikian sebagai mengulas tindakan DAP meletakkan pakar perundangan, Prof Dr Abdul Aziz Bari, bertanding di DUN Perak, seperti disahkan ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang, baru-baru ini.

Mengulas tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, bertanding di Parlimen Teluk Intan menentang Pengerusi GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, yang menang kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mei 2014, Ahmad Zahid berkata penduduk di Teluk Intan dapat menilai sendiri perkhidmatan dan pembangunan diberikan Siew Keong.




Tiada ulasan: