Jumaat, 20 April 2018

DAP: Najib bagi contoh tak baik, gelar lawan makhluk kasar

MALAYSIAKINI

   

PRU14 | Perdana Menteri (sementara) Datuk Seri Najib Razak menunjukkan contoh tidak baik dengan menggelar Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebagai 'makluk kasar', kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Dalam suatu kenyataan hari ini, penyandang MP Gelang Patah itu menzahirkan rasa kesal beliau kerana Najib terpaksa berpolitik secara 'jijik' (gutter politics) sebelum pilihan raya umum ke-14 bermula lagi.

Semasa acara pecah tanah PR1MA di Teluk Intan semalam, Najib memberi amaran 'makhluk kasar' yang mengedarkan berita palsu bertanding di Teluk Intan. Kata-kata Najib itu seakan merujuk kepada Nga, calon HARAPAN di Parlimen Teluk Intan.

"Najib telah melakukan dua kesalahan: Pertama, menggunakan bahasa yang tidak berhemah terhadap lawan politik dalam pilihan raya dan dengan demikian menetapkan contoh yang paling buruk kepada ahli politik Umno/ BN yang lain.

"Kedua, menuduh orang lain 'mencipta' berita palsu ketika mana beliau sendiri didakwa mengeluarkan berita palsu terbesar di negara ini," kata beliau.



Lim kemudian mencabar Najib untuk bersemuka pada majlis (dialog) umum. Pada majlis itu, beliau dan Najib boleh menyenaraikan sepuluh berita palsu ciptaan kedua-dua mereka sepanjang tempoh sembilan tahun pentadbiran Najib sebagai perdana menteri.

"Adakah Najib bersedia untuk majlis (dialog) umum, jika ya, hanya namakan tempat, tarikh, waktu dan saya akan berada di sana," kata beliau.

"Ini mungkin cara terbaik untuk menangani masalah berita palsu, yang mana pemimpin Umno dan BN, propagandis dan 'tentera siber quinoa' mereka-reka cerita menyerang dan mencemarkan HARAPAN dan pemimpin masyarakat sivil, sambil bergantung kepada Akta Antiberita Tidak Benar untuk menapis laporan benar mengenai penyalahgunaan kuasa dan skandal rasuah," jelas beliau lagi.

"Saya menyeru untuk menolak kempen yang tidak berhemah, tidak sopan dan bertaraf rendah. Saya menyeru agar kempen pilihan raya yang baik, jujur dan sivil untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa rakyat Malaysia tidak perlu menggunakan politik jijik (gutter politic) dan politik bangsa, agama, kebencian dan ketakutan bagi tujuan meraih undi," kata beliau.


Tiada ulasan: