Rabu, 18 April 2018

Mahkamah benar saman Nurul Izzah terhadap bekas KPN, menteri

Hakim memerintah Khalid dan Ismail Sabri membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM400,000 dan RM600,000 kepada Nurul Izzah.





KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan saman difailkan Nurul Izzah Anwar terhadap bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu naib presiden PKR itu bergambar bersama-sama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin membuat keputusan itu selepas mendapati kenyataan dikeluarkan Khalid dan Ismail Sabri, masing-masing di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Majlis Berkhatan Perdana 2016 di Bera, Pahang pada 22 November 2015, memfitnah Nurul Izzah selaku plaintif dalam kes saman berkenaan.

Faizah memerintahkan Khalid dan Ismail Sabri selaku defendan membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM400,000 dan RM600,000 kepada Nurul Izzah selain diperintah membayar kos berjumlah RM80,000 kepada plaintif.

Faizah dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati kedua-dua kenyataan berkenaan memfitnah Nurul Izzah.

Nurul Izzah memfailkan saman itu pada 26 November 2015 dengan mendakwa Khalid mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 22 November 2015.

Beliau mendakwa Ismail Sabri juga mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya pada hari sama (22 November 2015) dalam satu majlis di Bera, Pahang.

Katanya, kenyataan itu menggambarkan beliau seorang pengkhianat kepada negara dan dalang insiden pencerobohan Sabah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah berkata kenyataan itu dibuat oleh Khalid dan Ismail Sabri beberapa hari selepas tersiarnya gambar beliau bersama-sama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III, yang didakwa mengarahkan serangan dan pencerobohan Sabah pada 2013.

Dalam prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub dan Zureen Elina Mohd Dom mewakili kedua-dua defendan manakala Nurul Izzah diwakili R Sivarasa.

Tiada ulasan: