Rabu, 18 April 2018

Mana nak letak maruah Umno Jelebu, soal Rais Yatim

 
Rais mendakwa politik di Jelebu kecoh kerana Parlimen Jelebu akan diambil alih MIC. 





PETALING JAYA: Tan Sri Rais Yatim hari ini mendakwa politik di Jelebu kecoh kerana Parlimen itu akan diambil alih oleh MIC.

Penasihat sosiobudaya kerajaan juga mendakwa “pucuk pimpinan” bersetuju untuk memberi laluan kepada MIC, menyifatkan tindakan itu memalukan Umno Jelebu.

“Konon pucuk pimpinan sudah bersetuju dengan ketua bahagian Umno Jelebu supaya bagi jalan. Maruah Umno Jelebu kini nak letak di mana? Dayus perjuangan buruk padahnya,” kata Rais di Twitter.

FMT menghubungi Ketua Umno Jelebu Datuk Jalaluddin Alias untuk mendapatkan penjelasan tentang dakwaan Rais.

Jalaluddin berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan apa yang diperkatakan Rais dan meminta pimpinan parti supaya memperincikan perkara itu kepada akar umbi.

Ini kerana Parlimen Jelebu merupakan kerusi tradisi Umno memandangkan peratusan kaum Melayu yang jauh lebih banyak berbanding India. Menurut data yang dilihat FMT, pada pilihan raya lepas orang Melayu membentuk 63%, Cina 26%, India 6% dan lain-lain 5%.

“Nanti akan mendatangkan rasa tidak selesa dikalangan pengundi Melayu. Tetapi jika itu menjadi keputusan muktamad presiden, maka Umno dan BN Jelebu harus menjalankan tanggungjawab untuk memberi kemenangan kepada BN,” katanya.

Bagaimanapun, beliau ada terdengar desas-desus kerusi Umno di Jelebu akan ditukar dengan kerusi MIC di Port Dickson.

Beliau yang juga ketua penerangan Umno negeri berkata Umno Negeri Sembilan akan akur dengan keputusan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam perkara ini.

Dalam pada itu, Jalaluddin menghormati pandangan Rais sebagai “orang lama” yang memikirkan maruah Umno Jelebu.

“Saya juga mempertahankan martabat Melayu tetapi dalam semangat BN, kita harus ingat MIC, MCA juga membawa dan membantu pembentukan kerajaan BN yang mana Umno parti teras,” katanya.

Tiada ulasan: