Sabtu, 21 April 2018

Mansor Othman pertahan kerusi parlimen Nibong Tebal

MALAYSIAKINI

   
PRU14 l Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman akan mempertahankan kerusi Parlimen Nibong Tebal pada pilihan raya umum ke -14 (PRU14) ini.

Mansor, bekas timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang, berkata keputusan itu diambil selepas perbincangan pucuk pimpinan parti dan juga penyokong- penyokong di kawasan berkenaan.

"Saya akan mempertahankan kerusi Parlimen Nibong Tebal dan sebagai ketua PKR negeri, saya juga akan mengetuai jentera pilihan raya negeri pada PRU14," katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Pada pilihan raya umum lepas, Mansor menang kerusi Parlimen Nibong Tebal dengan majoriti 8,598 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan calon bebas Teng Kok Pheng.

Khamis lepas Zainal Abidin, mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ini.

Sementara itu, Mansor berkata PKR akan bertanding di 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kawasan Parlimen di Pulau Pinang pada PRU14.

Beliau berkata senarai calon-calon parti telah dikenalpasti termasuk beberapa calon muka baharu yang berusia di bawah 40 tahun dan beberapa calon wanita.

"Senarai itu akan diumum oleh pemimpin pusat minggu depan sebelum tarikh penamaan calon," katanya.

Ketika ditanya kelewatan pengumuman calon PKR berbanding parti DAP, PPBM dan PAS, Mansor berkata ia adalah satu langkah berhati-hati yang diambil pucuk pimpinan parti supaya semua yang dicalonkan itu bebas daripada sebarang perlakuan negatif.

"Kami akan mengumumkan senarai calon yang mempunyai kredibiliti untuk menjadi seorang wakil rakyat dan boleh berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat," katanya.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 Parlimen. Pada pilihan raya lepas sembilan belas kerusi DUN dimenangi DAP, masing-masing 10 oleh PKR dan BN serta satu PAS, manakala bagi kerusi Parlimen, tujuh dimenangi DAP dan masing-masing tiga PKR dan BN.- Bernama

Tiada ulasan: