Rabu, 18 April 2018

MUNGKIN PERBUATAN BULI- MAHDZIR

Wartawan Watan-Online 

 


Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes sekumpulan pelajar sekolah memukul rakan sekelasnya yang dikatakan tradisi sambutan ulang tahun hari lahir.

Bagaimanapun kementerian itu tidak menolak kemungkinan wujud elemen buli dalam kejadian berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian itu dan akan memutuskan tindakan selanjutnya ke atas pelajar terbabit selepas menerima laporan penuh.

“Saya tidak pasti sama ada betul ia satu tradisi, tetapi setakat ini, kita tidak menolak kemungkinan ada elemen buli di sekolah itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, Rabu.

Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Shah Alam dipukul sekumpulan rakan pelajar di dalam kelas, kononnya sebagai acara ‘tradisi’ sambutan ulang tahun hari lahir.

Menerusi rakaman video berdurasi 29 saat yang tersebar di media sosial, sekumpulan pelajar menyanyikan lagu ‘Happy Birthday to you’ sebelum memukul mangsa, termasuk menggunakan batang penyapu pada Februari lalu.


Tiada ulasan: