Sabtu, 21 April 2018

PAS Gesa Amanah Jawab Sumbangan Tauke RM50 Juta




SHAH ALAM – Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menggesa Parti Amanah Negara (Amanah) menjawab dakwaan yang sedang tular berhubung sumbangan RM50 juta oleh seorang tauke kepada DAP dan parti berkenaan bagi membiayai Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau mendakwa individu yang sama pernah memberi sumbangan kepada Amanah Perak sebanyak RM 500 ribu, dan berjanji akan memberi 10 kali ganda lagi sumbangan untuk Amanah Perak supaya berkerja keras menawan Perak.

“Sekiranya sumbangan 10 kali ganda itu diperolehi sekarang bermakna Amanah Perak sahaja memperolehi sumbangan RM 5 juta,” katanya.

Dalam kenyataannya, Mohd Zuhdi menyelar dakwaan Amanah berhubung sumbangan dana yang diperoleh Pas bagi membiayai PRU14.

Beliau menyifatkan Amanah sebagai sebuah parti yang tidak menyumbang kepada pembangunan pendidikan politik sihat, tetapi hidup bergelumang dengan politik fitnah dengan memberi persepsi buruk kepada parti lawan.

“Jika Datuk Mahfuz Omar yang bergelumang dengan pendekatan itu mungkin boleh diterima kerana sememangnya itulah modal politik beliau.

“Akan tetapi, sekiranya dua orang pimpinan Amanah yang mempunyai ijazah PhD dalam bidang Sains politik turut bergelumang dengan politik fitnah, ia sememangnya menyedihkan,” katanya.

Mohd Zuhdi berkata, seperti yang telah dijelaskan dalam kenyataan sebelum ini, kaedah Pas memperolehi dana untuk membiayai kempen PRU melalui dana awam, merupakan satu kaedah yang paling berintegriti.

“Melalui kaedah itu, Pas tidak terikat dengan apa-apa kepentingan penyumbang dana dan kemasukan sumbangan dana ke akaun umum Pas adalah telus dan boleh disemak oleh khalayak umum.

Kebanyakan parti politik memilih cara yang tidak bermoral dalam memperolehi dana politik, iaitu sumbangan melalui proksi dan penyumbangnya mempunyai kepentingan,” ujarnya.

Tambahnya, sebelum ini, banyak parti-parti yang terlibat dengan pilihanraya di Malaysia mendapat sumbangan dengan cara yang tidak berintegriti.

“Sumbangan yang diterima sama ada dimasukkan ke akaun individu atau akaun proksi untuk mengelakkan disemak oleh khalayak umum.

“Dengan kaedah ini mereka boleh memperolehi sumbangan dari tauke-tauke berkepentingan, industri haram seperti kongsi gelap dan pihak-pihak asing seumpama Zionist serta Evangelis. Hanya Pas yang menolak kaedah seperti ini,” jelasnya.

Tegasnya seperti yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung Pas baru-baru ini, parti itu sangat tegas untuk tidak menerima sumbangan yang haram dan sumbangan yang bersifat sogokan.

“Dengan sebab itu sejak tahun 1951, kaedah pengumpulan dana Pas adalah telus iaitu melalui pendanaan awam dan di setiap Mesyuarat Bulanan Pas Pusat serta Muktamar Tahunan Pas kemasukan sumbangan ini akan diaudit,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, bila kerajaan berhasrat menggubal akta berkaitan dana dan perbelanjaan politik, Pas yang paling awal mengalu-alukan – SH



Tiada ulasan: