Sabtu, 21 April 2018

PAS mahu wujudkan demokrasi tenang

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

 
 
MARANG: PAS mahu memperkenalkan demokrasi yang tenang dan tidak menimbulkan ketegangan serta kekacauan sepertimana berlaku di negara Arab.
 
Justeru, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS memperkenalkan suatu gagasan yang ditunjukkan oleh Islam.
 
Menurutnya, parti-parti politik boleh berbeza pendapat, tetapi usah sampai berlaku perbalahan dan perkelahian sesama sendiri.
 
"Kita memperkenalkan gagasan yang ditunjukkan oleh Islam iaitu taawun. Kerjasama dalam perkara yang baik dan tidak kerjasama dalam perkara yang tidak baik.
 
"Ini menimbulkan demokrasi yang tenang dan tidak menimbulkan ketegangan. Kita tidak mahu perbezaan pendapat menimbulkan kekacauan dalam negara.
 
"Cukuplah apa yang berlaku di negara Arab. Kita (PAS) tidak mahu berlaku ketegangan hingga menimbulkan campur tangan asing. Biarlah kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan berbalah, berkelahi.
 
"Ini pendekatan yang kita (PAS) hendak bawa kepada rakyat," ujarnya selepas majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU14 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini kelmarin.
 
Sehubungan itu katanya, sasaran PAS bertanding 160 kerusi Parlimen kerana parti itu mempunyai jentera pilihan raya di semua peringkat Cawangan dan Kawasan.
 
Adapun kata Dato' Seri Abdul Hadi, parti-parti lain yang pernah bergabung dengan PAS sebelum ini banyak bergantung kepada jentera partinya.
 
"Kita (PAS) mempunyai 196 kawasan Parlimen di seluruh negara. Kita bertanding 160 parlimen dan kita bertanding di tempat yang kita ada Kawasan, kita ada Cawangan, kita ada jentera parti.
 
"Adapun parti-parti lain ada yang tidak ada cawangan. Pengalaman kita (PAS) dalam kerjasama dengan pihak lain termasuk Parti Melayu Semangat 46, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dahulu mereka menggunakan jentera parti kita. Mereka menang pun dengan jentera pilihan raya kita.
 
"Apa yang menarik, sudah tentu akan ada undi protes daripada Umno, yang tidak puas hati. Ini (sokongan) boleh datang kepada kita. Ini bukan sahaja kepada orang Islam juga mereka yang bukan Islam," jelasnya.

Pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Husain Awang mengumumkan 40 kerusi terdiri dari lapan Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini. - HARAKAHDAILY


Tiada ulasan: