Khamis, 19 April 2018

PAS selaras lafaz baiah untuk calon PRU14 [TONTON VIDEO]

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS hari ini memberitahu partinya sudah menyeragamkan lafaz baiah untuk calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), termasuk yang bukan beragama Islam.
 
Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan juga mengesahkan pada PRU kali ini lafaz baiah talak tiga tidak lagi digunakan di Kelantan.
 
Beliau juga menjelaskan lafaz baiah pada PRU kali ini terbahagi kepada empat bahagian untuk calon Islam dan bukan Islam dan mengikut rakan komponen yang ada dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN).
 
“Lafaz baiah terbahagi kepada empat, (iaitu) calon ahli PAS semua Islam satu lafaz, DHPP satu lafaz baiah. Dalam Gagasan Sejahtera ada Islam dan bukan Islam. Semua lafaz ini akan mempunyai saksi dan dibuat secara bertulis. 
 
“Lafaz ini akan dilakukan sebelum pengumuman nama calon yang perlu lafaz ikrar dihadapan pesuruhjaya masing-masing," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur. 
 
PAS Kelantan pada 2004, mengikat wakil rakyatnya dengan lafaz baiah cerai talak tiga ke atas isteri masing-masing jika mereka bertindak melompat parti.
 
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki, partinya terpaksa berbuat demikian berikutan bimbang wakil rakyatnya dipancing menyertai Umno Barisan Nasional (BN) dan menyebabkan kerajaan negeri Kelantan tumbang.
 
Ketika itu PAS hanya mempunyai lebihan dua undi berbanding BN selepas PRU 2004.
 
Mengulas lanjut, Takiyuddin menjelaskan mengikut baiah yang ditetapkan PAS, mana-mana calon yang dipilih namun keluar parti atau dipecat, mereka disaran untuk meletak jawatan yang dimenangi dalam PRU.
 
"PAS ada (sediakan) dokumen akuan bersumpah, kalau kita keluar atau dipecat dan pada masa itu adalah seorang wakil rakyat, parlimen atau ADUN atau senator anda kena letak jawatan. Tetapi bagi PAS, ikrar ni lebih kepada sumpah kita dengan Tuhan. Itu ajaran agama kita, kalau anda berbaiah (tapi) nak langgar juga tanggung la dengan Tuhan.
 
"Begitu juga dengan bukan Islam, integriti anda akan dipersoal kalau langgar syarat ni. Biasalah dalam perundangan ni terikat dengan akujanji, sekiranya langgar ini kesan-kesannya," jelas beliau lagi.
 
Sebelum ini, banyak pihak tertanya-tanya apakah status perkahwinan tiga pemimpin PAS Kelantan yang bertindak melompat parti walhal pada masa sama mereka terikat dengan lafaz baiah talak tiga.
 
Tiga pemimpin itu adalah Datuk Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai), Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan Husam Musa (Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan). 
 
Walau bagaimanapun, sehingga kini status berkenaan masih tidak dapat disahkan oleh mana-mana pihak.
 
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata mana-mana ahli PAS yang sudah hilang kepercayaan kepada parti, mereka boleh keluar dan menyertai parti lain. 
 
"Kalau tidak ada kepercayaan kepada PAS, mereka boleh cari parti lain," katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaa pemberita adakah anak bekas Mursyidul Am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz masih lagi ahli PAS, berikutan kenyataan yang dikeluarkan semalam yang dilihat berpihak kepada Pakatan Harapan (PH), apabila berkata parti itu berpeluang mengambil alih kerajaan negeri Kelantan. 
 
Namun ujar beliau, kenyataan yang dikeluarkan Nik Omar setakat ini tidak melanggar perlembagaan PAS dan menganggap ia sebagai pandangan peribadi beliau. 
 
“Tapi saya tidak pernah dengar Nik Omar bercakap tentang perkara yang bercanggah dengan perlembagaan parti.
 
"Semua orang yang masih menjadi ahli PAS perlu akur terhadap perlembagaan PAS dan salah satu tidak membuat kenyataan atau tindakan yang bercanggah kepentingan PAS itu sendiri serta boleh menjatuhkan imej, maruah dan kepercayaan kepada PAS,” katanya lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: