Khamis, 19 April 2018

Pembangkang hanya mahu pergunakan identiti Nik Omar

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Pembangkang terutama Amanah hanya mahu menjadikan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz, sebagai umpan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata Amanah gagal menarik perhatian pengundi di Kelantan justeru terpaksa menggunakan identiti Nik Omar bagi membolehkan nama partinya disebut-sebut.
 
"Nik Omar adalah peluang PAN (Amanah) menjadikan parti itu menarik perhatian ramai dan anak bekas Menteri Besar Kelantan itu hanya dijadikan umpan.
 
"Pada masa sama, itu menunjukkan PAN (Amanah) tiada kekuatan walaupun terdapat bekas exco atau Naib Presiden PAS dalam parti berkenaan. Mereka tidak yakin dengan barisan kepemimpinan yang ada," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak An-Nisa' di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
 
Akhbar sebelum ini melaporkan, anak kepada Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berusia 53 tahun itu berkata, beliau tidak akan bertanding sebagai calon Amanah seperti heboh diperkatakan kerana tidak mendapat restu daripada ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
 
Nik Omar berkata, ibunya meminta beliau tidak terbabit dalam pertandingan sama ada di bawah Amanah atau menjadi calon kepada mana-mana parti.
 
Bagaimanapun, pakatan pembangkang yakin Nik Omar tetap bersama mereka dalam masa terdekat sebelum tiba hari penamaan calon.
 
Malah, pimpinan Amanah juga dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan Nik Omar bagi membincangkan perkara berkenaan.
 
Terdahulu, berucap pada Majlis Pecah Tanah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak An-Nisa', Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata hospital lapan tingkat yang pertama di Kelantan berkonsepkan wanita dan kanak-kanak itu membabitkan kos RM80 juta dan akan memulakan pembinaan Januari tahun depan

Tiada ulasan: