Jumaat, 20 April 2018

Penduduk tak puas hati 'orang BN' hadir hari sukan sekolah

Siti Rafiah Tahir 

   
PRU14 | Ahli kumpulan Facebook Kota Kemuning telah menyatakan rasa tidak senang mereka ekoran kehadiran seorang lelaki anggota parti BN di Sekolah Sukan Bukit Rimau semalam.

Seorang anggota kumpulan memuatnaik gambar yang memaparkan anggota parti Gerakan, Jordan Tiew Hock Huat beramah mesra dengan ibu bapa, memakai baju warna parti dan didakwa berkempen untuk BN.

Hantaran itu menarik sejumlah besar komen negatif, yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan politik kepartian di sekolah.

Seorang saksi Feizrul Nor memberitahu Malaysiakini, dia pada mulanya beranggapan Tiew ialah wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ketika Tiew memberi ucapan yang terakhir.



Bagaimanapun, Tiew didakwa menemui hadirin serta berjabat tangan dengan ibu bapa dan menyerahkan kad nama beliau.

Logo BN jelas dicetak pada kad itu dan juga pada baju yang dipakai oleh seorang wanita yang menemaninya.

"Saya juga mendengar Tiew secara jelas meminta ibu bapa untuk mengundi BN," dakwa Feizrul.

Seorang lagi penduduk Kota Kemuning, Steve Low, yang menghubungi Malaysiakini untuk membuat aduan mengenai kejadian tersebut, berkata sekolah bukan tempat untuk menyebarkan bahan kempen parti politik.

'Buatlah teladan yang baik'

"Dia harus memberikan teladan yang baik untuk kanak-kanak dengan mengikuti peraturan," kata Low.

Semasa dihubungi, guru besar sekolah Fauzanah Sharif menafikan dakwaan Tiew berkempen di sekolah.

"Dia telah dijemput ke sekolah kami untuk menyampaikan ucapan pembukaan, dia tidak datang ke sekolah kami untuk berkempen. Malah, tidak ada retorik politik dalam ucapannya," katanya.

Guru besar itu menjelaskan sekolah itu telah menjemput Tiew sempena hari sukannya.

Dijemput sebagai penyelaras BN

Apabila dihubungi, Tiew berkata beliau dijemput ke sekolah atas kedudukannya sebagai penyelaras BN bagi kawasan Kota Kemuning (secara rasmi Sri Muda) dan tugasnya untuk menyampaikan ucapan.

"Saya tidak berkempen, saya hanya dijemput memberi ucapan pembukaan untuk hari sukan.

"Kami telah melawat banyak sekolah sebelum ini dan kami sedar akan peraturan tersebut," katanya.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan nama calon BN Kota Kemuning ketika berita ini ditulis.

Penyandang ADUN Sri Muda yang hadir ialah Shuhaimi Shafiei. Pada PRU13, beliau menang 63.7 peratus undi.

Tiada ulasan: