SHAH ALAM: Pengarah Biro Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah)
Selangor, Jaafar Samsuddin, didakwa meletakkan jawatan hari ini.
Difahamkan, tindakan beliau itu ada kaitan dengan pengagihan kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),
berikutan parti serpihan PAS itu hanya mendapat 10 kerusi berbanding 13
kerusi yang diminta dan perkara itu disahkan Ketua Pemuda Amanah
Selangor, Abbas Azmi.
Beliau berkata, berita peletakan jawatan itu tersebar selepas surat
rasmi berkaitan dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp parti berkenaan.
"Apabila gambar surat peletakan jawatan itu dipaparkan dalam kumpulan WhatsApp, Jaafar mengesahkan perkara itu.
"Malah, selepas membuat pengesahan itu, beliau turut keluar daripada kumpulan WhatsApp terbabit," katanya.
Namun, tambah Abbas, tindakan Jaafar itu langsung tidak menjejaskan
persediaan parti berdepan PRU14 dan pihaknya akan membincangkan isu
berkenaan bersama kepemimpinan lain termasuk melantik pengganti Jaafar.
"Ramai pemimpin Amanah yang mampu menggalas tugas ini dan akan
meneruskan perjuangan, ia tidak menjejaskan hala tuju parti dengan isu
peletakan jawatan Jaafar.
"Ia tidak akan menjejaskan perjuangan Amanah dan Pakatan Harapan pada
PRU14, Amanah membawa suara rakyat, bukannya individu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, ketika
dihubungi berkata, beliau tidak menerima sebarang surat peletakan
jawatan terbabit manakala usaha juga sedang dibuat untuk menghubungi
Jaafar bagi pengesahan beliau mengenai isu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan