Khamis, 19 April 2018

Suri rumah didakwa sembunyi lebih RM14 juta

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Seorang suri rumah didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menyalah gunakan harta dan menyembunyikan wang berjumlah RM14.562 juta, tahun lalu.
 
Chang Lin San, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham dan lapan pertuduhan di hadapan Majistret Nur Shahira Abdul Salim.
 
Tertuduh didakwa menyalahgunakan harta dengan mengeluarkan wang berjumlah RM1,555,168.08 milik Ong Khoon Hong daripada akaun CIMB Bhd. dan Hong Leong Bank Bhd. bagi pembelian sebidang lot tanah di Kuala Lumpur.
 
Perbuatan itu didakwa dilakukan di One South Mall, Serdang Perdana, Selangor antara 22 Disember 2017 dan 12 Januari lalu.
 
Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa di hadapan Nor Ariffin.
 
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
 
Sementara itu, di hadapan Nur Shahira, Lin San turut mengaku tidak bersalah menolong menyembunyikan harta berjumlah RM3,378,191 milik lapan buah syarikat.
 
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun CIMB dan Hong Leong Islamic miliknya antara Ogos dan Oktober 2017.
 
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
 
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM66,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkannya menyerahkan pasport selain menetapkan 21 Mei ini, sebutan semula kes.
 
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik dan Abu Arsalnaa Zainal Abidin sementara peguam Lim Yoi Ping mewakili tertuduh.
 
 

Tiada ulasan: