Khamis, 19 April 2018

Tidak dicalonkan bukan punca keluar Amanah, kata Jaafar

 
Bekas pengarah pilihan raya Amanah Selangor berkata dia kecewa dengan sikap kepimpinan parti yang tidak menghiraukan suara ahli parti.


Jaafar Samsuddin berkata gelaran ‘kolot’ dan ketinggalan zaman yang dilemparkan menjejaskan imejnya.


SHAH ALAM: Bekas pengarah pilihan raya Amanah Selangor Jaafar Samsuddin berkata tidak tersenarai sebagai calon dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukanlah faktor yang mendorong beliau keluar daripada parti itu.

Jaafar berkata sebab utama beliau berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap kepimpinan parti yang tidak menghiraukan suara ahli parti serta beberapa alasan peribadi.

“Kalau suara sebagai ahli mahupun yang berjawatan penting dalam parti langsung tidak dihiraukan kepimpinan, apa gunanya lagi berada dalam parti,” kata Jaafar.

Beliau semalam dilaporkan menghantar surat peletakan jawatannya itu kepada Amanah negeri dan nasional sebelum memutuskan untuk turut keluar daripada parti berkenaan.

Jaafar yang keluar daripada PAS dan menyertai Amanah pada 2016, turut menegaskan kurangnya sikap saling menghormati, tidak mendengar pendapat sesama sendiri termasuk daripada akar umbi dan kecelaruan arah tuju perjuangan Amanah, antara faktor penarikan dirinya daripada terus menerajui jentera serta menganggotai parti berkenaan.

“Saya diberi jawatan penting untuk menghadapi pilihan raya, tetapi suara dan pendapat saya tidak didengari dan dihormati kepimpinan serta ahli parti, saya rasa tidak berguna lagilah saya memegang jawatan itu. Malah suara saya sebagai ahli parti juga tidak dihiraukan.

“Saya memegang amanah (jawatan) yang diberikan dan melaksanakannya menggunakan segala pengalaman yang saya ada, tetapi ada pula yang datang mendabik dada mempertikai kredibiliti saya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam politik, beliau juga amat kesal dengan Amanah kerana pada saat-saat akhir menjelang PRU14, keadaan dalaman parti masih kucar-kacir apabila ramai dalam kalangan ahli sedang cuba “menunjuk pandai”.

Katanya, gelaran “kolot” dan ketinggalan zaman yang dilemparkan kepada beliau selaku pengarah pilihan raya dilihat menjejaskan imejnya sedangkan gerak kerja yang diatur bagi menghadapi perang PRU14 bukan sekadar menjadi tukang sorak.

“Dalam pilihan raya, kita kena cepat, cekap, sebab itu saya guna pengalaman saya bagi penerangan serta bukti-buktinya. Kita bukan nak buat politik lebih kurang, namun ramai yang nak tunjuk pandai…ini harus segera diperbetulkan,” katanya.

Mengakui tidak berdendam dengan Amanah walaupun melepaskan jawatan penting dalam dalam parti itu, Jaafar berkata beliau tidak merancang untuk menyertai parti politik lain sungguhpun ada pihak datang berjumpa dengannya.

Katanya, setakat ini, beliau memilih untuk berehat daripada dunia politik dan menghabiskan masa bersama keluarga namun jika ada pihak memerlukan pendapat, beliau sedia memberi sumbangan.

Tiada ulasan: