Sabtu, 21 April 2018

Tunggu PM muktamad senarai calon Perak

Muhammad Azizul Osman
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak PRU-14 di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Ipoh, Perak. foto IQBAL BASRI,
 

IPOH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menafikan bahawa parti itu lewat untuk mengumumkan senarai calon BN pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kali ini.

Bagaimanapun menurut Zambry, proses muktamad itu harus melalui pengesahan daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita kena tunggu untuk pengesahan terakhir daripada Pengerusi BN, kita harap dapat umumkan senarai nama calon secepat mungkin,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan manifesto BN peringkat negeri Perak hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, keputusan untuk menyenaraikan calon-calon PRU-14 di negeri itu dibuat secara konsensus dalam kalangan parti-parti komponen BN yang ada di negeri ini.

“Keputusan yang dibuat adalah keputusan bersama, yang penting BN menang di Perak. Kita buat keputusan berasaskan kepada kedudukan negeri, dan saya ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan yang berikan kata putus untuk kita putuskan bertanding.

“Jangan ada pihak yang beranggapan bahawa apabila sesuatu kerusi itu ditanding oleh komponen lain, ini seolah kita menafikan ahli komponen kita,” katanya lagi.

BN Perak sebelum itu melancarkan manifesto peringkat negeri Perak yang menggariskan tujuh teras utama yang menjadi janji kepada rakyat Perak sempena PRU-14, 9 Mei depan. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: