Khamis, 19 April 2018

Ura-ura Mazlee lawan Liang di Simpang Renggam

Norman Goh 

   
PRU 14 |  Pensyarah dan ahli akademik Maszlee Malik mungkin diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan di Simpang Renggam.

Menurut sumber parti, Maszlee dilihat antara mereka yang menghadiri taklimat calon semalam di ibu pejabat parti di Petaling Jaya.

Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 12 Mac lalu, seminggu selepas seorang lagi ahli akademik, Wan Saiful Wan Jan mengumumkan kemasukannya ke Bersatu.

Anak jati Johor itu bakal berdepan Setiausaha Agung Parti Gerakan Datuk Liang Teck Meng yang merupakan pemenang tunggal dari parti itu pada pilihan raya umum 2013.

Penyandang dua penggal yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengalahkan Suhaizan Kaiat (dahulunya anggota PAS) dengan jumlah 5,706 undi majoriti pada 2013.




Sementara itu, timbalan ketua biro strategi dan dasar BERSATU Wan Saiful Wan Jan berkata kepada Malaysiakini dengan menamakan Maszlee sebagai calon ia mungkin akan menjadi pilihan terbaik buat Pakatan Harapan.

"Saya tidak boleh mengesahkan pencalonan itu tetapi jika beliau orangnya, saya sangat gembira. Walaupun saya ahli majlis tertinggi, saya bukan sebahagian daripada perbincangan pemilihan calon-calon.

"Saya adalah antara orang yang membawa beliau masuk BERSATU, ia akan menjadi lebih baik untuk melihat lebih banyak golongan profesional seperti beliau bertanding dalam pilihan raya umum ini," kata Wan Saiful kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Malaysiakini menghubungi Setiausaha Agung BERSATU Datuk Shaharudin Salleh bagi mendapatkan ulasan mengenai pencalonan itu. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut.

"Tunggu saja pengumuman hari esok untuk calon Johor," katanya dalam mesej teks kepada Malaysiakini.

Namun demikian, Maszlee Malik enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai pencalonan beliau di parlimen itu.

Simpang Renggam merupakan kerusi tradisional yang dipegang oleh Gerakan, Liang bertanding kerusi itu pada 2008 daripada bekas timbalan presiden Gerakan, Datuk Seri Kerk Choo Ting.

Simpang Renggam ialah kerusi parlimen majoriti Melayu sebanyak 57 peratus, manakala pengundi Cina dan India masing-masing sebanyak 33 dan 1 peratus.

Tiada ulasan: